Bendahari Bersatu dibebaskan dengan jaminan SPRM

Iklan
Laporan Sinar Harian. Razali (gambar kanan).

SHAH ALAM - Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Salleh Bajuri yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan
Iklan

"Saya dimaklumkan Datuk Mohd Salleh Bajuri telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dapat balik ke rumahnya pada tengah hari Jumaat," katanya.

Dalam pada itu, Razali menyifatkan penahanan Mohd Salleh itu dilihat suatu tindakan untuk memburukkan Bersatu di mata rakyat.

Iklan

Razali turut mendakwa duit itu tidak dimasukkan dalam akaun peribadi Mohd Salleh.

"Saya difahamkan bukan ada kemasukan (duit) dalam akaun peribadi Mohd Salleh. Beliau hanya menjaga akaun parti malah akaun tersebut diaudit setiap tahun dan ini bermaksud akaun itu bersih selain tiada kemasukan yang meragukan.

Iklan

"Jadi saya melihat kalau macam ini caranya maka saya jangkakan akan ada ramai lagi pemimpin Bersatu ditangkap dan disiasat oleh SPRM," dakwanya.

Justeru, Razali menggesa kerajaan untuk melaksanakan Akta Pendanaan Politik bagi mengetahui sumber kewangan atau dana diperoleh sesebuah parti politik.

"Laksanakan Akta Pendanaan Politik. Biar jelas dari sumber mana yang boleh diambil.

"Parti politik mesti dan wajib ada sumber kewangan untuk bergerak. Sekarang cadang akta tersebut dilaksanakan segera pada sesi Parlimen, barulah tahu setakat mana duit itu diperoleh," jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Mohd Salleh ditahan pada Selasa untuk membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.

Bagaimanapun sumber memaklumkan, pemimpin Bersatu itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Tambah sumber, Mohd Salleh kemudian ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan kes.

Pada 1 Februari lalu, SPRM mengesahkan telah membekukan beberapa akaun milik Bersatu untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor juga sudah dipanggil SPRM pada 16 Februari bagi memberi keterangan berkaitan isu membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima parti Bersatu.