JASIN - Banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah Jasin dianggap bencana terburuk seperti yang pernah berlaku pada tahun 2006.
Mangsa banjir di Kampung Parit Seman Benteng, Sungai Rambai, Nur Faezah Zabidin, 26, berkata, dia sekeluarga tidak menjangkakan hujan lebat berpanjangan menyebabkan kediaman mereka dinaiki air sejak tiga hari lalu.
Menurutnya, disebabkan di luar jangkaan banyak peralatan elektrik tidak dapat diselamatkan dan ditenggelami air termasuk mesin basuh serta dapur memasak.
"Awal tahun lalu, rumah saya dinaiki air tapi kali ini, bulan Mac pula air naik hingga satu meter dan terburuk berbanding sebelum ini.
"Rumah kami juga berada di kawasan rendah dan dikelilingi sawah, lagi cepat air naik hingga banyak barang elektrik dan perabot rosak," katanya yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Gantong.
Dia yang bekerja sendiri berkata, bencana itu turut menyebabkan kawasan sawah yang diusahakan bapanya seluas kira-kira 3.24 hektar musnah ditenggelami banjir.
"Tanaman padi yang diusahakan ayah saya dijangka boleh dituai awal bulan depan tapi sekarang semua sudah tenggelam dan tidak tahu berapa kerugian ditanggung ayah," katanya.
Bagi pekerja ladang sawit, Zulhilmi Monjani, 22, berkata, dia sudah beberapa hari tidak dapat bekerja kerana ladang sawit tempat dia bekerja turut ditenggelami air.
Menurutnya, selain hilang punca pendapatan, rumahnya turut dinaiki air dan berharap kerajaan juga prihatin dengan nasib golongan bujang sepertinya.
"Walaupun saya belum berkahwin tapi perlu menanggung keluarga ditambah pula Ramadan semakin hampir," katanya.
Suri rumah, Nor Hidayah Sulaiman, 37, yang menetap di Batu Gajah berkata, dia sempat menyelamatkan dan memindahkan barang-barang dalam rumahnya ke tempat selamat.
"Lagipun tebing berdekatan rumah telah dinaik taraf menyebabkan dan saya bersama tiga anak sempat memindahkan barang-barang dan berpindah ke PPS," katanya.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan berkata, seramai 434 mangsa banjir dari 115 keluarga masih ditempatkan di tujuh PPS termasuk satu di Alor Gajah membabitkan 15 mangsa ditempatkan di Balai Rata Bukit Tambun.
"Enam PPS di daerah Jasin masih lagi aktif termasuk PPS SK Parit Penghulu, SK Asahan, SK Chohong, SK Parit Gantong,SK Batu Gajah dan SK Seri Mendapat," katanya.