Polis kesan pemandu lori tunda akibatkan kemalangan

Iklan
Sebuah lori tunda didapati memandu melulu sehingga mengakibatkan kemalangan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) pada Jumaat.

PETALING JAYA - Polis sedang mengesan pemandu lori tunda yang telah mengakibatkan kemalangan melibatkan sebuah motosikal di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menjalankan siasatan berdasarkan video tular yang dikesan kira-kira jam 10 pagi pada Sabtu.

Iklan
Iklan

"Siasatan dijalankan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 4.57 petang itu, lori tunda tersebut didapati mengubah haluan secara tiba-tiba.

"Secara kebetulan, sebuah motosikal gagal mengelak lori berkenaan sehingga mengakibatkan ia melanggar sebuah kereta di lorong kiri jalan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mohamad Fakhrudin berkata, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menerima laporan daripada penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

"Siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan termasuk mengesan pemandu lori tunda yang terlibat.

Iklan

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Sarjan Anurur Ferdaus Mahussin di talian 017-6345114 bagi membantu siasatan," katanya.