Bekas gangster temui ketenangan dalam Islam

Iklan

SHAH ALAM - Beberapa bekas gangster mendedahkan hidup mereka menemui 'ketenangan' dan menjadi insan lebih baik selepas memeluk agama Islam.

Bekas gangster, Imran Salaam berkata, meskipun hidupnya dilimpahi dengan kekayaan dan kemewahan ketika terlibat dalam dunia gangsterisme, dia merasa 'kosong'.

Iklan
Iklan

"Saya ada segala-galanya seperti kereta, motosikal dan sebagainya namun ada sesuatu yang hilang iaitu ketenangan.

"Saya ada kehidupan yang menyeronokkan, tanpa sebarang keluhan tetapi ketika berada di rumah, saya rasa kosong dan tidak merasakan ketenangan itu.

Iklan

"Namun segalanya berubah selepas saya kehilangan anak tiri malah saya ditembak beberapa kali ketika terlibat dalam dunia gelap itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Surah Al-Insan: Reset Life [From Gangster to Islam] di Studio My #QuranTime di sini pada Sabtu.

Iklan

Program itu dikendalikan hos, Jalal Zaiki bersama panelis lain iaitu Shaykh Uthman Farooq dan Ooi Chooi Beng.

Menurut Imran, beliau mendalami Islam ketika menjalani hukuman di penjara dan sejak dari itu beliau tekad meninggalkan segala kegiatan lama selain berubah menjadi Muslim yang baik.

"Surah kegemaran saya adalah surah al-Imran. Selepas solat dan setiap kali saya membacanya, saya merasakan ketenangan dan perlindungan daripada ALLAH SWT," jelasnya.

Berkongsi kisah sama, seorang lagi bekas gangster, Ooi Chooi Beng berkata, beliau bersyukur kerana menjadi insan terpilih diberikan hidayah untuk memeluk agama Islam.

"Namun selepas saya memeluk Islam sejak enam tahun lalu, Alhamdulillah akhirnya saya menemui ketenangan yang sebenar," ujarnya.

Tambah Ooi, menerusi solat dan zikir bukan sahaja secara langsung berasa dekat dengan ALLAH SWT malah dirinya berasa lebih tenang tanpa perlu melakukan perbuatan yang boleh membahayakan diri sendiri.


Bekas gangster pesan kembali pada al-Quran jika ingin berubah

Bekas gangster dari Amerika Syarikat yang juga seorang mualaf memberi pesan setiap manusia perlu kembali pada al-Quran sekiranya ingin berubah menjadi manusia lebih baik.

Shaykh Uthman Farooq berkata, al-Quran memberi petunjuk kepada jalan yang benar selain dapat memberi satu peringatan kepada umat Islam.

"Jika kita mahu petunjuk daripada ALLAH SWT, kita perlu lakukan inisiatif dan ambil langkah dengan kembali kepada ALLAH SWT.

"Jika kita rasakan diri kita sudah kuat ketika berada dalam dunia gangster, ada senjata dan 'back up' (ahli geng) namun segalanya akan hilang dan tiada erti lagi selepas kita berhadapan dengan kematian

"Belajar al-Quran dan kembali balik siapa yang mencipta kita, apa tujuan kita hidup di dunia ini. Wang, kuasa, perempuan dan kemasyhuran akan sentiasa hilang. Walaupun kita seorang hartawan, jutawan sekalipun ia tidak bermakna kerana yang kekal abadi nanti adalah akhirat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program yang merupakan kerjasama pertama kali antara WUIF dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Hidayah Centre Foundation itu bertujuan menarik minat orang ramai terutama golongan muda untuk mendalami isu dan kisah yang memberi pengajaran dalam kehidupan.

"Jadi kita lihat dari ayat pertama surah Al-Insan menceritakan untuk set semula (reset) kehidupan kita.

Justeru, Marhaini berkata, ia merupakan suatu permulaan yang baik untuk mengadakan program seperti ini pada masa akan datang.

"Kita lihat isu-isu seperti ini menyentuh hati dan menarik minat ramai anak muda untuk datang pada program hari ini selain menerima maklum balas yang baik daripada orang ramai.

"Selepas ini kita rancang untuk adakan program yang menarik anak muda untuk jadikan al-Quran sebagai panduan," jelasnya.