PUTRAJAYA - Syarat visa ketibaan (VOA) bagi pelancong dari China dan India mungkin akan dilonggarkan, sebagai usaha meningkatkan jumlah pelancong dari dua negara itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata langkah itu mungkin dilaksanakan pada tahun ini, namun tidak menyatakan apakah antara syarat yang akan dilonggarkan.
"Ya (mungkin longgarkan syarat), Saya tidak lihat sebarang masalah dalam perkara tersebut. Kita hendak lebih ramai pelancong, jadi kita akan mudahkan.
"Kita mungkin akan longgarkan (syarat VOA) tetapi, perlukan perbincangan (lanjut) dengan kementerian-kementerian dan menteri-menteri yang bertanggungjawab (berkaitan)," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini.
Sebelum ini, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan untuk memberikan perjalanan tanpa visa kepada pelancong China dan India untuk meningkatkan pelancongan negara.
Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, ketibaan pengunjung ke Malaysia merosot sebanyak tiga peratus kepada 25.95 juta pada 2017 berbanding 26.76 juta pada 2016, walaupun ketibaan pelancong positif di seluruh Asean pada 2017.
Dalam perkembangan lain, Mohamaddin berkata kementerian sedang dalam proses perbincangan bersama beberapa syarikat penerbangan antarabangsa antaranya Condor, Qatar Airways, IndiGo Airline dan Tui Fly untuk menambah destinasi penerbangan mereka di negara ini.
Katanya, beberapa syarikat berkenaan sudah menyediakan perkhidmatan laluan terus ke negara ini, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Ada suggestion untuk mereka terbang dari Eropah ke Langkawi (Kedah) dan saya juga minta untuk tambah penerbangan mereka ke Kota Kinabalu (Sabah)," katanya. - Bernama