Tubuh segera jawatankuasa laksana gaji kehidupan wajar - MTUC

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat (Gambar kecil : Kamarul Baharin)

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyarankan agar kerajaan segera menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji pelaksanaan gaji kehidupan wajar di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, Kementerian Sumber Manusia boleh bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam usaha melaksanakan inisiatif berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana kajian BNM berjaya menghasilkan cadangan jumlah gaji kehidupan wajar dan pihaknya yakin serta percaya ia bersifat neutral bagi kemajuan serta kemakmuran negara.

"MTUC memuji langkah kerajaan untuk melaksanakan gaji kehidupan wajar, sudah sampai masa beralih daripada dasar gaji minimum kepada dasar yang lebih menjaga kehidupan pekerja.

Iklan

"Jadi, gaji minimum yang dilaksanakan adalah upah minimum yang patut dibayar kepada pekerja untuk kerja yang dilakukan dalam tempoh tertentu manakala gaji kehidupan wajar, upah yang membolehkan pekerja berkemampuan menyediakan keperluan yang berkualiti bagi pembangunan diri dan keluarga.

"Justeru, pihak kami menyarankan agar kerajaan menubuhkan jawatankuasa yang mengkaji dasar ini secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, Kamarul berkata, kerajaan juga perlu meneliti semula berhubung kadar gaji khususnya individu bujang yang disifatkan tidak setaraf dengan kos sara hidup masa kini.

"Berdasarkan kepada laporan tahunan 2017, BNM menyarankan gaji kehidupan wajar individu bujang di bandar adalah RM2,700.

"Perbezaan gaji minimum dan gaji wajar sebanyak RM1,200 menyebabkan pekerja terpaksa membuat dua kerja dalam satu masa dan bekerja kerja lebih masa.

"Ketidak wajaran gaji kepada individu bujang menyebabkan mereka lebih berminat kepada pekerjaan gig ekonomi yang memberikan upah yang tinggi," ujarnya.

Pada Jumaat, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memaklumkan kerajaan sedang dalam usaha untuk meneliti cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung pelaksanaan 'gaji kehidupan wajar' di Malaysia.

Katanya, Laporan Tahunan 2017 BNM menyarankan kadar gaji kehidupan wajar individu bujang dewasa yang menetap di bandar adalah RM2,700, manakala pasangan tanpa anak adalah RM4,500 dan pasangan dengan dua anak adalah RM6,500.