PDRM FC melakarkan kejutan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila menewaskan pasukan itu 0-1 pada aksi ketiga Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman malam Sabtu.
Sang Kenari beraksi dengan 10 pemain selepas ketua pasukannya, Manuel Ott dilayangkan kad merah pada minit ke-59 kerana mengasari pemain lawan.
Situasi itu memberikan kelebihan kepada The Cops untuk mengandakan serangan dalam memburu gol dan memperolehi jaringan pada minit ke-74 menerusi Suzuki Bruno.
Sebelum itu, tumpuan KDA FC juga terganggu apabila pengendalinya, Nafuzi Zain turut dilayangkan kad merah pada minit ke-70 kerana menganggu pengadil keempat perlawanan yang dipercayai memprotes keputusan pengadil, Mohd Azizan Saat Ariffin.
Sebelum itu, tuan rumah berjaya mengawal baik perlawanan dan melancarkan beberapa asakan ke kubu lawan namun pelawat berjaya mematahkan serangan yang dilakukan.
Dua peluang terbaik muncul menerusi Amirbek Juraboev pada minit ke-16 dan Al Hafiz Harun pada minit ke-19 namun berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol PDRM FC, Ramdhan Ab Hamid.
The Cops berjaya mengikat tuan rumah tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama dan pelawat juga melakukan formasi bertahan yang sama sebaik separuh masa kedua bermula.
PDRM turut membuat percubaan pada minit ke-54 menerusi Aliff Najmi Shaaini namun penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi lebih bersedia.
Kad merah yang dilayangkan kepada Ott mula memberikan kesan kepada rentak permainan tuan rumah apabila beraksi dengan 10 pemain dan kelebihan tersebut dimanfaatkan oleh PDRM sehingga ke wisel penamat untuk keputusan penuh 0-1.