SHAH ALAM - Majikan boleh memohon untuk meminda cuti sakit pekerja sekiranya perkara tersebut adalah isu besar dan mendatangkan kerugian kepada syarikat.
Pakar perundangan, Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, bagaimanapun perkara tersebut perlulah seimbang tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak.
"Cuti sakit pekerja ini boleh dipinda sekiranya terdapat ketidakpuasan hati majikan. Ia tiada masalah untuk usulkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).
"Namun, selalunya kalau pin-daan, kementerian akan minta pandangan semua pihak termasuk majikan dan pekerja, barulah ia dimasukkan dalam Parlimen,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.
Sebelum ini, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman berpandangan kemudahan cuti sakit wajar dikaji semula kerana ia membebankan majikan dari segi kos.
Syed Hussain mendakwa, majikan di Malaysia berdepan kerugian sekitar RM5.05 bilion kesan daripada pekerja yang mengambil cuti sakit.
Susulan itu, Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), J Solomon berkata, kenyataan Presiden MEF itu menunjukkan majikan tidak berperikemanusiaan dan tidak menghormati nyawa pekerja.
Menurut Nik Ahmad, kerajaan perlu mengkaji semula cuti sakit berbayar di bawah Akta Kerja 1955 mengikut kategori umur pekerja.
Beliau mencadangkan bagi pekerja muda, cuti sakit wajar dikurangkan, sementara yang berusia, ia perlu dikekalkan atau ditambah.
"Apa yang majikan mahu adalah jumlah cuti sakit yang munasabah. Kalau muda, mereka tidak perlu 15 hari setahun. Mungkin umur muda sampai 40 tahun, ia dikurangkan kepada 10 hari sahaja.
"Ini adalah kerana saya lihat anak muda, mereka memang sangat jarang guna cuti sakit,” katanya.
Tambah beliau, antara lain, bagi mengurangkan penggunaan cuti sakit, majikan disarankan untuk memberikan bonus berdasarkan prestasi pekerja.
"Pada akhir tahun nanti, majikan perlu melihat prestasi dahulu untuk memberi bonus. Beri 100 peratus bonus kepada mereka yang benar-benar tunjuk prestasi baik termasuk yang kurang menggunakan cuti sakit.
"Ia secara tidak langsung menjadikan pekerja-pekerja lebih seronok untuk bekerja dan kurang mengambil cuti sakit,” jelas beliau.