ALOR SETAR - Isu inflasi yang tidak berkesudahan perlu ditangani dengan mengelak berlakunya monopoli harga barang oleh kapitalis ekonomi.
Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, wujudnya ‘tangan-tangan kurang baik’ dalam ekonomi telah menyebabkan kekayaan negara hanya dimonopoli pihak tertentu.
Menurutnya, kawalan terhadap penguasaan kapitalis ekonomi wajar dilakukan biarpun ia bukan tugas mudah.
"Timbal balik atau kesan positif mahupun negatif perlu dinilai semula. Berdasarkan fakta, pemilikan ekuiti bumiputera kini tidak melebihi 20 peratus, yang mana menunjukkan kaum bumiputera tidak menguasai ekonomi negara.
"Bumiputera bukan kapitalis ekonomi. Sebaliknya, ada dua lagi komponen penting pemilikan ekuiti, iaitu bukan warganegara dan bukan bumiputera yang menguasai lebih 80 peratus ekonomi dan hasil negara sejak selepas merdeka hingga sekarang,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mohd Syakir menjelaskan, pemilikan ekuiti negara bukan hanya berdasarkan kepada perniagaan secara fizikal, ia juga bergantung kepada perniagaan secara maya seperti Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
"Bagaimana mereka mendapat modal besar untuk berniaga dan mampu menguasai ekonomi negara? Sebenarnya, bukan bumiputera atau bukan warganegara boleh melabur tanpa sempadan ke negara kita sejak dahulu lagi.
"Jatuh atau bangun ekonomi negara banyak bergantung kepada pasaran modal seperti ini. Mereka lebih selesa digelar pelabur berbanding kapitalis ekonomi. Agak janggal apabila tanah yang dianggap milik kita rupanya hanya khayalan, ia telah banyak hilang daripada bumiputera,” ujarnya.
Menurutnya lagi, modal asing yang masuk ke dalam negara juga memberi kesan kepada peningkatan nilai barang termasuk tanah, yang turut memberi kesan secara langsung kepada rakyat.
"Kedua, inflasi yang disebabkan oleh kesalahan manusia seperti rasuah, pentadbiran tidak terurus, beban cukai tinggi atau lambakan wang kertas,” katanya.
Mohd Syakir menegaskan, antara perkara penting dalam ekonomi ialah pendapatan dan perbelanjaan selain cukai.
"Isu cukai sama ada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan muncul jika pendapatan negara tidak dapat menampung perbelanjaan sehingga hutang negara bertambah. Dalam hal ini, negara berhak untuk mengecilkan atau mengembangkan cukai.
"Namun, pemerintah hendaklah jujur dan adil terhadap rakyat dalam menguruskan cukai. Rakyat berhak ditanya pendapat mengenai cukai yang tidak membebankan mereka,” jelasnya.
Tambahnya, nisbah cukai dan pendapatan rakyat juga perlu dirangka sebaiknya agar cukai kerajaan tidak melenyapkan kemampuan rakyat untuk memiliki keperluan asas seperti makanan, kediaman, pengangkutan serta pakaian.
"Contohnya, Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan sangat baik. Ia menyeimbangkan harga makanan di pasaran. Bagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya harga bahan mentah turut ‘dirahmahkan’ supaya pengeluar tidak terbeban dengan harga bahan mentah.
"Monopoli bahan mentah oleh pihak tertentu menyukarkan kerajaan menyediakan kawalan harga di pasaran,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Syakir berharap bantuan kerajaan untuk rakyat diuruskan dengan baik agar tidak berlaku ketirisan.
"Kerajaan harus peka dengan kesusahan rakyat berbanding kesusahan di pihak kerajaan. Jangan kedekut membantu rakyat kerana agihan kekayaan adalah asbab bantuan ALLAH SWT akan datang dari pelbagai sudut,” ujarnya.
Menurutnya, pendekatan mesra rakyat harus diperkasakan dan anggaplah ia sebagai tanggungjawab kerajaan untuk menjaga rakyat.