RCI Wang Kelian: Prosiding tertutup ketika 11 nama orang tempatan dikemuka

Iklan

PUTRAJAYA - Sesi petang prosiding pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis hari ini dikemukakan dengan 11 nama orang tempatan yang disyaki menjadi 'runner' dalam penyeludupan warga asing.

Saksi ketujuh RCI, ASP Jamalludin Shah Mohd Jawan ketika diminta melihat senarai nama berkenaan mengesahkan ada di antara 11 nama itu dalam pemerhatian cawangan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

Iklan
Iklan

"Ini bukan maklumat baharu bagi IPD Padang Besar. Kesemua penama ini disyaki sebagai runner (dalam membawa masuk pendatang asing),” katanya yang juga bekas pemangku Ketua Cawangan Khas IPD Padang Besar.

Jamalludin Shah turut memberitahu RCI bahawa laporan cawangan khas berhubung aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin di sempadan Malaysia-Thailand dikategorikan sebagai 'rahsia' dan 'rahsia besar' selain melibatkan maklumat berhubung keselamatan negara.

Iklan

Ketika itu, Pengerusi RCI yang juga bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria meminta wakil media dan orang awam meninggalkan bilik prosiding RCI kerana prosiding akan dijalankan secara tertutup.

Prosiding RCI kemudiannya dijalankan secara tertutup selama 30 minit.

Iklan

Selepas media dibenarkan masuk semula, saksi kelapan pesara polis berpangkat Sub-Inspektor Abdul Rahman Kashim yang juga bekas Ketua Balai Polis Kaki Bukit, Perlis dari 2005 hingga 2014 memberi keterangan.

Turut memberikan keterangan pada sesi petang hari ini ialah saksi kesembilan Koperal Roshaidi Hussin yang bertugas di Pondok Polis Wang Kelian, Perlis dari 2012 hingga kini.

Saksi terakhir yang memberikan keterangan pada hari ini ialah Sub Inspektor (B) Zainuddin Hussin yang juga bekas Ketua Balai Polis Kaki Bukit dari Januari 2015 hingga Jun 2016.

Ketiga-tiga mereka dalam keterangan masing-masing mengatakan tidak pernah tahu mengenai kem pendatang asing dan kubur di Wang Kelian sehinggalah Pasukan Gerakan Am (PGA) menemui lokasi berkenaan pada Januari 2015.

Ketiga-ketiga mereka berkata bidang tugas mereka hanya melakukan rondaan, menahan pendatang tanpa izin dan memantau kes jenayah di kawasan perumahan Wang Kelian, Kampung Wang Kelian, Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar dan pekan Wang Kelian.

Kawasan hutan adalah kawasan operasi PGA dan mereka tidak pernah melakukan rondaan jenayah di dalam hutan.

Pendengaran awam RCI akan bersambung esok (Selasa). - Bernama