PORT DICKSON - Meskipun banyak rungutan netizen di media sosial berhubung isu khemah biru di pantai Teluk Kemang di sini, namun ada pengunjung yang merasakan ia sebagai satu alternatif.
Bagi mereka, kemudahan sewaan khemah yang terdapat di situ adalah jalan penyelesaian kepada pengunjung yang tidak membawa tikar atau khemah sendiri.
Pengunjung, Intan Izafina Idrus, 39, yang datang dari Kuala Lumpur berkata, dia dan keluarga tidak bercadang untuk berkelah di tepi pantai, namun mengubah fikiran sementara menunggu waktu mendaftar masuk bilik hotel jam 3 petang.
Menurutnya, disebabkan tidak mempunyai tikar untuk duduk bersantai di tepi pantai, dia menyewa khemah.
"Lagi pun kami sampai awal dan tak tahu nak pergi mana. Jadi kami buat keputusan berjalan-jalan saja di pantai Teluk Kemang.
"Kemudian ada pengusaha khemah tawarkan kami untuk sewa khemah dengan harga murah, jadi kami terus setuju. Dapatlah, kami rehat sambil menikmati pemandangan di pantai," katanya.
Intan Izafina berkata, Port Dickson menjadi pilihannya sekeluarga untuk bercuti kerana tidak perlu melalui perjalanan yang panjang dari Kuala Lumpur selain mahu menjimatkan kos.
Warga emas Asmah Amrah, 66, pula berkata, pemasangan khemah-khemah sewaan di situ mungkin membuatkan setengah pengunjung rasa kurang selesa, tetapi ada yang merasakan ia sebagai penyelesaian kepada mereka yang tidak membawa kelengkapan untuk berkelah.
Katanya, harga sewaan dikenakan juga tidaklah terlalu mahal dan pengusaha bersedia tawar menawar.
"Bila saya sampai sini, saya rasa tak perlu pun khemah ini untuk kami. Tapi bila pengusaha khemah datang tawarkan harga, saya rasa serba salah pula jika tak ambil.
Selain itu, suri rumah Nur Fazrina Mohd Hafiz, 33, pula berpendapat, pemasangan khemah di situ tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ia untuk kegunaan pengunjung yang memerlukan.
"Kalau cuaca redup memang tiada masalah untuk kita duduk berkelah dan mandi di pantai ini dengan hanya membentang tikar.
"Tapi kalau panas, memang tak tahan kerana di sepanjang pantai ini tiada pokok untuk berteduh. Jadi ikut pilihan masing-masing dan mereka pun tak paksa guna khemah jika nak berkelah di sini," katanya.
Pengunjung dari Muar, Johor, Mohd Sani Maslan, 49, berkata, perkhidmatan sewaan khemah di situ memberi kemudahan kepada pengunjung.
Ujarnya, dia tidak pasti kenapa khemah dijadikan isu orang ramai tidak mahu datang ke pantai terbabit.
"Saya jarang datang ke Port Dickson dan tak tahu pula ada khemah sewa. Bagi saya ia tak mendatangkan masalah pun malah jadi kemudahan.
"Apa-apa pun ia terpulang kepada masing-masing. Untuk saya ada khemah ini boleh berteduh kalau hujan atau panas," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati keadaan di kawasan pantai Teluk Kemang sememangnya kurang meriah dengan pengunjung, namun kawasan parkir di situ penuh dengan kenderaan.
Terdapat beberapa kelompok pengunjung kelihatan mengadakan aktiviti berkumpulan di kawasan pantai terbabit dan di sebahagian deretan khemah biru di situ dipenuhi dengan pengunjung yang datang bersama sesi keluarga.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pengusaha khemah di pantai terbabit menyangkal dakwaan yang pemasangan khemah sewa di situ adalah punca orang ramai tidak lagi berminat untuk datang ke pusat peranginan berkenaan.
Malah mereka mendakwa netizen sengaja menambah 'rencah' berkenaan isu kekurangan pengunjung ke Port Dickson pada cuti persekolahan kali ini sedangkan ia disebabkan ramai ibu bapa mengambil langkah untuk berjimat