SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membuka reruai bagi membolehkan orang ramai melaporkan sebarang masalah berkaitan semasa Town Hall Rakyat bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Isnin ini.
Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, antara pertanyaan dan maklum balas yang boleh dikemukan adalah berhubung isu kesalinghubungan Internet, masalah berita palsu, scam dan jenayah siber.
Menurutnya, hasil daripada maklum balas yang diperoleh, pihak SKMM boleh menilai permasalahan yang dihadapi dan selanjutnya tampil dengan jalan penyelesaian.
"Pembukaan reruai pada sesi Townhall Menteri Komunikasi dan Digital adalah bagi membolehkan orang awam lebih memahami peranan dan tugas-tugas SKMM sebagai badan regulatori bagi komunikasi dan multimedia yang melibatkan sektor komunikasi, penyiaran, pos dan kurier,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Bagaimanapun, menurut beliau, perlu diingatkan bagi aduan berkaitan kesalinghubungan, tanggungjawab untuk menyelesaikannya terletak di pihak penyedia perkhidmatan.
Jelasnya, SKMM hanya akan memantau penyelesaian dan memastikan penyedia perkhidmatan mematuhi kerangka masa ditetapkan.
Tambah Zulkarnain, jenis aduan yang diterima adalah, bagi perkhidmatan telekomunikasi ia termasuk isu liputan rangkaian, bil dan bayaran, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), Pengalihan Nombor Mudah Alih.
Bagi pos dan kurier, menurutnya, ia melibatkan isu penghantaran yang lambat, penyampaian servis yang lemah, kehilangan bungkusan atau dokumen.
"Untuk penyiaran, masalah siaran televisyen berbayar, siaran televisyen percuma dan radio boleh diajukan. Bagi kandungan dalam talian pula, masalah melibatkan kandungan palsu, menyinggung atau jelik serta kandungan lucah.
"Akhir sekali, isu-isu teknikal spesifik seperti menara atau struktur telekomunikasi, gangguan spektrum, peranti tidak memenuhi piawaian, pusat internet, penguntukan radas boleh diajukan,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi isu yang melibatkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi, pos dan kurier serta penyiaran, pengguna akan diberi tunjuk ajar mengenai tatacara membuat aduan di dalam Portal Aduan SKMM.
Jelasnya, bagi isu melibatkan kandungan dalam talian pula, pengguna akan diberikan tunjuk ajar mengenai tatacara membuat laporan secara terus kepada penyedia platform untuk penyelesaian segera.
"Maklum balas akan bergantung kepada aduan yang dikemukakan. Ada aduan yang boleh diselesaikan segera dan ada yang memerlukan masa untuk diselesaikan,” katanya.
Jelas Zulkarnain, selain melalui sesi townhall, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada SKMM melalui platform lain.
Katanya, ia adalah melalui portal aduan SKMM, https://aduan.skmm.gov.my/ ; hotline, 1 800 188 030 ataupun e-mel, aduanskmm@mcmc.gov.my.
"Selain itu, pengguna juga boleh membuat aduan berkaitan dengan masalah liputan melalui portal JENDELA Map di pautan https://jendela.my/map/,” ujarnya.
Beliau menambah, pada 2022, SKMM telah menyelesaikan sejumlah 140,050 iaitu 96 peratus daripada aduan yang diterima.
"Daripada segi penyelesaian, aduan akan diselesaikan terlebih dahulu dan memerlukan persetujuan daripada pengadu.
"Pengadu diberi masa 30 hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas sebelum aduan akan ditutup secara automatik,” ujarnya.