Penyokong KDA tidak puas hati keputusan pengadil

Iklan
Penyokong KDA FC berkumpul di hadapan pintu utama Stadium Darul Aman namun keadaan terkawal dengan kawalan polis pada malam Sabtu. - Gambar kecil: Ridzuan (kiri), Affendi

HAMPIR 1,000 penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC berkumpul di hadapan pintu utama Stadium Darul Aman selepas aksi ketiga Liga Super 2023 pasukan tersebut tewas 0-1 kepada PDRM FC pada malam Sabtu.

Tindakan itu dilakukan oleh mereka bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap beberapa keputusan Mohd Azizan Saat Ariffin yang mengadili perlawanan tersebut.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun keadaan di hadapan pintu utama stadium itu terkawal selepas pegawai dan anggota polis turut berada di situ dan penyokong mula bersurai menjelang hampir jam 12 tengah malam.

Pada perlawanan itu, Mohd Azizan telah melayangkan kad merah kepada kapten KDA FC, Manuel Ott pada minit ke-59 kerana dilihat mengasari pemain lawan.

Iklan

Situasi semakin memberikan tekanan kepada Sang Kenari apabila ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain turut dilayangkan kad merah pada minit ke-70 kerana dipercayai mengganggu tugas pengadil perlawanan.

Dua keputusan itu dipercayai menjadi sebab moral pemain KDA FC terganggu dan gawang mereka akhirnya bolos pada minit ke-74 menerusi jaringan penyerang PDRM FC, Bruno Suzuki.

Iklan

Seorang penyokong KDA FC, Ridzuan Che Aman, 44, dari Alor Setar mengharapkan agar pihak berwajib mengambil berat mutu pengadilan kerana dilihat mampu menjejaskan rentak permainan.

"Penyokong juga boleh menjadi tidak terkawal dan pengadil perlu adil dan telus dalam memberikan keputusan," kata bekas tentera itu.

Seorang lagi penyokong KDA FC, Affendi Rosmadi, 29, pula mengakui hampa dengan beberapa keputusan pengadil yang didakwa tidak adil.

"Kita harap pihak sepatutnya dapat membuat perubahan lagi untuk membaiki mutu pengadilan untuk akan datang.

"Jika mutu sebegini tidak diperbaiki, mungkin penyokong tidak mahu lagi menonton perlawanan bola sepak tempatan," ujarnya yang datang dari Kodiang, Kubang Pasu.