KUALA LUMPUR - Akibat terlelap serta memandu di bawah pengaruh dadah, seorang lelaki gagal mengawal kereta sehingga mengakibatkan kemalangan tiga kenderaan di Jalan Ipoh, Batu 5 menghala ke Batu Muda, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian jam 12.30 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 25 tahun memandu kenderaan jenis Nissan Sentra berwarna perak terlelap dan melanggar belakang sebuah lori.
Iklan
Iklan
"Akibat perlanggaran tersebut, lori itu bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah motosikal di lorong sama menyebabkan penunggang motosikal terjatuh," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Bagaimanapun, beliau berkata, kemalangan berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan.
"Kedua-dua individu itu dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan disahkan positif dadah jenis methamphetamine, ketamin, benzo (erimine 5), ampetamin dan ganja (THC) selepas menjalani ujian saringan air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi
"Kedua-dua individu itu ditahan dan disiasat oleh IPD Dang Wangi," katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.