SEGAMAT - Penduduk Buloh Kasap di sini, menyifatkan situasi banjir yang dihadapi ketika ini setelah hujan lebat berterusan sejak Isnin lepas, sebagai kejadian luar jangkaan.
Siti Idayu Abdul Ghani, 44, berkata, walaupun kawasan tersebut sering dinaiki air namun ia tidak dalam tempoh hujung Februari atau awal Mac.
Dia berkata, hujan lebat berterusan bermula Isnin lepas telah menyebabkan sekitar kawasan rumahnya di Kampung Kuala Paya, dinaiki air petang semalam.
"Pagi ini (Sabtu) air sudah mula masuk dalam rumah kira-kira 4 pagi dan air semakin meningkat. Awalnya saya tidak pindah kerana dimaklumkan boleh berpindah apabila air sudah masuk rumah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS itu.
Siti Idayu dan suami antara mangsa banjir yang diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat selepas rumah mereka dinaiki air petang semalam.
Penghulu Mukim Buloh Kasap, Nor Rafizan A Rahman berkata, hujan lebat berterusan bermula Isnin lepas menyebabkan penduduk tidak menyangka air naik ke kawasan itu dalam 'sekelip mata'.
"Kami difahamkan ada berlaku retakan ban di Spang Loi menyebabkan air naik ke kawasan ini dengan cepat.
"Saya arahkan semua penduduk sekitar untuk keluar berpindah pada Jumaat malam kerana bimbang dengan keadaan air yang semakin meningkat," katanya.
Nor Rafizan berkata, Jalan Kuala Paya-Balai Badang juga dinaiki air menyebabkan penduduk antaranya di Spang Loi, Serakek, Padang Kiambang dan Kampung Jawa terputus hubungan. - Bernama