MIKEL Arteta menyifatkan kemenangan dramatik Arsenal 3-2 ke atas Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai luar biasa selain turut memuji kesungguhan para pemainnya.
The Gunners berdepan tugas berat apabila ketinggalan 0-2 sehingga minit ke-62 sebelum Thomas Partey dan Ben White menyamakan kedudukan.
Rembatan deras Reiss Nelson pada masa kecederaan melengkapkan kebangkitan mereka dan melebarkan semula kelebihan lima mata kelab London itu ke atas Manchester City
"Ia adalah satu kegilaan dari detik pertama lagi. Kami terus mencuba dan menguasai permainan. Kami berdepan tugas berat dan mengatasinya sedikit demi sedikit.
"Sungguh luar biasa untuk menempuh emosi ini dengan orang ramai. Ia akan kekal bersama kami. Saya akan mengingati hari ini atas beberapa perkara. Saya menyukai inisiatif, keberanian, keperibadian pemain dan cara mereka merealisasikan sesuatu.
"Apabila ia kelihatan menjadi sukar, itulah yang dilakukan oleh kelab gergasi. Kami perlu memudahkannya untuk diri sendiri. Tetapi ini adalah EPL," katanya.
Dalam pada itu, Arteta mahu para pemainnya menumpukan kepada saingan Liga Europa dan mencipta keputusan positif menentang Sporting Lisbon pada pusingan 16 terbaik.
"Sekarang kami akan beralih ke kempen Liga Europa. Banyak perlawanan akan ditempuhi. Kami memerlukan kesemua pemain dalam keadaan yang terbaik," katanya.