KUALA LUMPUR - Juruhebah veteran tersohor, Noraini Ibnu kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh berikutan jangkitan kuman dalam paru-paru.
Personaliti radio RTM itu juga pada masa kini sedang ‘ditidurkan’ oleh doktor yang merawat bagi merawat jangkitan berkenaan.
Menurut anaknya, Herta Masrun, doktor sedang melakukan pemantauan yang rapi ke atas ibunya yang ditidurkan hampir 24 jam lalu.
Kata Herta, ibunya tenang ketika menerima berita doktor perlu berbuat demikian sebagai usaha terbaik untuk merawat penyakitnya itu.
"Alhamdulillah mama sangat positif ketika saya memaklumkan kepadanya mengenai tujuan doktor mahu ‘tidurkan’ beliau. Saya dan keluarga sentiasa memberi motivasi kepada mama untuk terus berjuang dan berlawan sekuat mungkin untuk kembali sihat seperti sediakala,” kata Herta yang juga anak bongsu Noraini kepada Awani ketika dihubungi, pagi Ahad.
Sebelum dimasukkan ke ICU, Noraini yang juga isteri kepada penyanyi veteran terkenal, Herman Tino itu mengalami demam panas pada Jumaat lalu.
Pada hari Sabtu pula, jelas Herta, ibunya mengalami sesak nafas sekitar pukul 7 pagi.
Melihat keadaan Noraini yang lemah, Herta yang menemani ibunya di kediaman keluarga di Tanjong Karang membuat keputusan untuk membawanya ke hospital.
"Doktor pantas melakukan rawatan yang sewajarnya bagi menenangkan mama. Selepas pemeriksaan dilakukan, doktor memberitahu kami ahli keluarganya mama perlu ‘ditidurkan’ dan akan dipindahkan ke ICU Sungai Buloh untuk pemantauan yang lebih rapi," jelas Herta, 38, lagi.
Sehubungan itu, Herta mewakili ayahnya, Herman Tino dan seluruh ahli keluarga memohon semua kenalan Noraini untuk sama-sama berdoa semoga ibunya yang baru saja menyambut ulang tahun kelahiran ke-63 pada 21 Februari lalu kembali sihat.
"Kami berterima kasih kepada semua yang bertanya khabar dan mendoakan mama saya. Insya-ALLAH berkat doa dan harapan yang dikirim, mama akan kembali sihat seperti sediakala,” kata Herta lagi. - Awani