PUTRAJAYA - Pencapaian Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran kerajaan selama setahun akan dilaporkan pada Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 3 Mei nanti, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata mengenai manifesto PH, ada"yang sudah dibuat", ada"yang sedang diusahakan", dan ada yang perlu"dilihat semula” kerana ia mungkin tidak dapat dicapai.
"Ada perkara yang kita berjaya laksanakan, dan ada yang sedang dilaksanakan. (Ada juga..) Kita berjaya melaksanakan sebahagian daripadanya, contoh antara komitmen menghapuskan hutang peneroka.
"Tapi penyelesaian yang dapat kita buat ialah hapus interest hutang peneroka," katanya pada majlis dialog bersama media di kementeriannya di sini hari ini.
Saifuddin berkata PH juga berjaya membatalkan senarai hitam peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan mewujudkan agenda reformasi Parlimen.
"Ada tiga acuan iaitu acuan pertama telah berjaya, yang kedua sedang dilaksana dan yang ketiga tidak dapat dibuat," katanya.
Mengenai isu kos sara hidup yang dikaitkan dengan kenaikan pendapatan, Saifuddin berkata kenaikan gaji tidak menyumbang kepada melegakan kos sara hidup, sebaliknya antara penyelesaian untuk menangani kos sara hidup adalah dengan meningkatkan produktiviti dan kecekapan bagi mengurangkan kos barang.
Namun katanya Malaysia masih berusaha untuk mencari penyelesaian menerusi 'rantaian bekalan' dan kawalan harga bagi mengawal kenaikan harga barang.
Saifuddin berkata laporan akhir mengenai analisis rantaian bekalan akan disediakan pada suku ketiga tahun ini, yang akan melihat sekiranya terdapat ‘pakatan’ atau kartel yang sengaja membuatkan harga melonjak. -Bernama