Pelakon tumbuk isteri ditahan polis

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Pelakon yang disyaki menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh ditahan polis pada Sabtu bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari ketika dia hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Iklan
Iklan

"Pelakon itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Hussein berkata, setakat ini, polis sudah mengambil keterangan mangsa, dua saksi dan suspek.

Iklan

"Polis kemungkinan akan memanggil semula mangsa untuk diambil keterangan lanjut hari ini," katanya.

Menurutnya, polis juga sudah mendapatkan laporan awal perubatan mangsa dan disahkan mangsa mengalami kecederaan di pipi.

Iklan

"Kita akan mendapatkan perintah mahkamah sementara pada esok (Isnin), bertujuan menghalang suami daripada melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara siasatan dijalankan polis.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Jumaat media melaporkan, isteri kepada pelakon lelaki itu membuat laporan polis mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata, awal pagi Khamis.

Sumber berkata, mangsa berusia lingkungan 20-an itu membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur pada jam 6.30 pagi, Khamis.