SHAH ALAM - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Pelancongan dan Ejen Pelancongan Republik Czech (ACCKA) bagi mengukuhkan kerjasama perniagaan antara pelancongan Malaysia dengan pemain industri di negara berkenaan.
Majlis menandatangani MoU di Prague itu disempurnakan oleh Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang dan Presiden ACCKA, Roman Skrabanek selain disaksikan oleh Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Republik Czech, Farashima Aini Mohd Ali pada Jumaat lepas.
MATTA dalam kenyataan berkata, kerjasama berkenaan berpotensi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka bagi rakyat Republik Czech.
Sementara itu, Farashima Aini berkata, menerusi MoU tersebut akan menghasilkan lebih banyak kerjasama antara usahawan pelancongan melibatkan dua negara.
"Malah ia meningkatkan kesedaran Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang ideal di peringkat global.
"Saya memuji pencapaian penting antara kedua organisasi tersebut selain Kedutaan Malaysia di Republik Czech dengan bangganya akan menyokong inisiatif berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Kok Liang menjelaskan potensi besar pasaran Republik Czech ke Malaysia adalah hasil menerusi ekonomi negara yang berkembang pesat.
"Jumlah pelancong Republik Czech ke Malaysia telah meningkat sejak beberapa tahun lalu dengan potensi pertumbuhan pesat dalam masa terdekat.
"Seperti biasa MATTA melihat setiap peluang untuk berkembang ke pasaran baharu yang berpotensi untuk pertumbuhan pesat,” ulas Kok Liang.
Selain itu, Skrabanek memaklumkan lebih daripada 60 peratus penduduk Republik Czech melancong ke luar negara setiap tahun dengan menyumbang sejumlah 5.1 juta percutian iaitu melibatkan penginapan minimum empat malam pada 2019.
"Terdapat peningkatan besar dalam perjalanan mewah dan jarak jauh di samping semasa musim sejuk (Oktober hingga Mac), majoriti pengembara Republik Czech lebih suka pantai dan destinasi yang cerah.
"Selain membeli-belah, bersiar-siar, selam skuba dan pengembaraan lembut malah mereka terpikat dengan budaya, tradisi dan masakan,” ujarnya.
Justeru, Skrabanek berkata, MoU tersebut merupakan langkah yang tepat selain memberi keuntungan kepada kedua-dua persatuan berkenaan.
Tambah kenyataan itu lagi, dua persatuan tersebut telah komited untuk bekerjasama bagi meningkatkan pelancongan melibatkan kedua negara dengan membantu mengembangkan hubungan antara usahawan pelancongan Malaysia dan Republik Czech melalui pembangunan strategi perniagaan sinergi dan komunikasi.
"Selain itu melibatkan pertukaran maklumat, menganjurkan mesyuarat antara ahli persatuan di samping membantu dan mengambil bahagian dalam pameran, pameran perdagangan antarabangsa serta acara lain yang dianjurkan oleh mana-mana pihak,” jelasnya.