Agong zahir hasrat KOA Kuala Boh jadi kampung contoh

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Boh, Cameron Highlands pada Ahad. - Foto Bernama

CAMERON HIGHLANDS - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad menzahirkan hasrat agar Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Boh di sini, menjadi kampung contoh kepada KOA lain.

Seri Paduka Baginda bertitah, kampung itu perlu dicontohi kerana kebersihan dan kecantikan kawasannya, selain keharmonian yang dipamerkan penduduk orang asli di situ.

Iklan
Iklan

"Saya juga ingatkan rakyat khususnya orang kita di sini, supaya terus kekal keharmonian dan silaturahim di sini dan jangan terlalu berpolitik.

"Kita usahakan tanah-tanah kita untuk hasil pendapatan kita dan yang bekerja di luar di Tanah Rata kekal bekerja di situ sebaik mungkin, kerana sekarang pekerjaan bukan senang,” titah Seri Paduka Baginda selepas mendengar taklimat penambahbaikan perkhidmatan telekomunikasi di KOA Kuala Boh oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Iklan

Turut berkenan mendengar taklimat berkenaan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan perasaan gembira dengan perancangan SKMM berkenaan penambahbaikan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan itu dan berharap lebih banyak kemudahan dan keperluan yang dijanjikan kepada penduduk orang asli dapat ditunaikan segera.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyaksikan majlis pengislaman dua wanita Orang Asli ketika melawat ke Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Boh, Cameron Highlands pada Ahad. - Foto Bernama

Iklan

"Saya dimaklumkan ada beberapa rumah akan dibina oleh pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan ini sedang diurus dan dalam masa sama kita akan baiki beberapa rumah di kawasan ini.

"Kita lengkapkan segala apa yang boleh. Saya percaya segala infrastruktur-infrastruktur akan diusahakan khususnya berkaitan elektrik, air dan seterusnya,” titah Seri Paduka Baginda.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyaksikan pengislaman dua wanita orang asli di kampung itu, selain Seri Paduka berdua memberikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada anak-anak orang asli dan menyerahkan sebuah van kepada penduduk di situ.

Pada lawatan itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan menyediakan juadah jemput-jemput durian kepada penduduk KOA Kuala Boh, hasil air tangan Raja Permaisuri Agong.

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah dalam sesi taklimat menerangkan mengenai projek pencawang interim, yang dilaksanakan suruhanjaya itu dengan pihak industri di KOA Kuala Boh.

Beliau berkata, pencawang sementara itu dibina susulan aduan penduduk setempat ketika lawatan Seri Paduka ke kampung berkenaan pada 7 Januari lepas, dan susulan itu pihaknya sedang menyiapkan Projek Menara KOA Kuala Boh bagi memudahkan penduduk menerima perkhidmatan talian komunikasi dengan lebih lancar.

Pembinaan menara setinggi 76 meter menggunakan gentian optik itu akan dinikmati lebih 200 keluarga orang asli yang dijangka siap September ini dengan nilai projek RM1.5 juta. - Bernama