SEGAMAT - Setiap kali hujan lebat, penduduk sekitar Bekok di sini tidak pernah menyangka kawasan yang didiami akan dilanda 'episod' banjir.
Ketua Kampung Melayu Baru Bekok, Azhar Kamisan berkata kali, terakhir kawasan Bekok mengalami banjir adalah pada 2006 apabiila air Sungai Bekok melimpah, namun tidak menyebabkan banjir setiap kali berlaku hujan lebat berterusan.
"Banjir kali ini mengejut dan ramai penduduk tidak bersedia. Kebanyakan mereka keluar selamatkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Bekok selepas air naik kira-kira jam 4 pagi Rabu.
"Kebanyakan mangsa adalah dari Rumah Rakyat Bekok iaitu kawasan yang berhampiran dengan Sungai Bekok," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Ahad.
Azhar, 60, berkata, selepas 17 tahun, banjir kali ini adalah terburuk dengan beberapa laluan dinaiki air sehingga penduduk sekitar terputus hubungan dan mereka bagaikan berada di pulau.
Beliau berkata, selain Rumah Rakyat Bekok, kawasan lain yang terjejas antaranya Kampung Pancha Jaya dan Kampung Orang Asli di sini dengan ada antara mereka bukan sahaja rumah dinaiki air tetapi laluan utama ditutup akibat kejadian jambatan runtuh."Hari pertama banjir (Rabu) penduduk Bekok tidak boleh keluar dari kawasan ini kerana jambatan utama dipenuhi air dan hanya surut sehari kemudian. Kami di sini bagaikan duduk di pulau kerana tidak boleh keluar dan terputus hubungan," katanya.
Setakat Ahad, seramai 340 orang daripada 149 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Bekok.
Seorang lagi penduduk, Noraini Abdullah, 33, berkata, hujan lebat berterusan pada Januari lalu tidak menyebabkan berlaku banjir namun berbeza pada kali ini.
Menurutnya, hujan lebat selama dua hari sejak Isnin lalumenyebabkan rumahnya di Rumah Rakyat Bekok dinaiki air sehingga paras peha.
"Ketika air sungai melimpah kira-kira jam 3 pagi itu, saya sekeluarga sedang tidur sebelum dengar orang ramai bising di luar, baru saya sedar rumah sudah dinaiki air," katanya yang mempunyai lima orang anak berusia 13 hingga tiga tahun. - Bernama