Ahmad Zahid minta ketepikan hasrat jatuhkan Kerajaan Perpaduan

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) hadir pada pada Majlis Pengenalan Calon-Calon, Ahli Majlis Kerja Tertinggi termasuk Exco Sayap-Sayap Pemilihan UMNO 2023-2026 Peringkat Negeri Kedah di Bangunan Tunku, Alor Setar pada Ahad.

ALOR SETAR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pemimpin UMNO membina pasukan yang kuat untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid mengakui terdapat usaha menggugat kepimpinan sedia ada namun katanya, sudah tiba masanya untuk pemimpin kembali bekerja membantu parti itu terus relevan pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap pimpinan di peringkat nasional dan negeri juga perlu selari dan berusaha bersama-sama untuk memperkuatkan kembali UMNO.

"Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani (yang) dibentuk harus dipertahankan. Pasukan yang akan memimpin UMNO di peringkat Majlis Tertinggi Wanita, Pemuda dan Puteri mesti berada dalam satu pasukan agar kerajaan yang ada tidak akan tergugat dan kita terus berada di dalamnya.

Iklan

"Kita tahu bahawa terdapat beberapa perancangan untuk menggugat kepimpinan sedia ada dan meruntuhkan kerajaan yang ada. Saya fikir ketepikanlah hasrat itu sebab UMNO harus terus relevan, kuat semula," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pengenalan Calon-Calon, Ahli Majlis Kerja Tertinggi termasuk Exco Sayap-Sayap Pemilihan UMNO 2023-2026 Peringkat Negeri Kedah di Bangunan Tunku, Alor Setar.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, semua pemimpin juga perlu turun ke bawah untuk menyakinkan rakyat terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri itu juga mahu pemimpin yang menang pada pemilihan UMNO agar selari dengan pimpinan pusat bagi mengelakkan berlaku masalah dalaman.

"Saya ingin mengucapkan syabas kepada kepimpinan Majlis Tertinggi yang ada. Apabila parti membuat keputusan maka kepimpinan dalam Majlis Tertinggi, Wanita atau Pemuda dan Puteri mematuhi sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh parti," kata beliau lagi.