SPR minta bakal calon PRK Sandakan buat semakan awal

Iklan
Azhar Azizan

KUALA LUMPUR - Semua bakal calon yang berhasrat bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan diminta membuat semakan awal pengisian borang pencalonan mereka sebelum Hari Penamaan Calon Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata semakan awal itu boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Pejabat Majlis Perbandaran Sandakan atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah.

Iklan
Iklan

Menurut beliau semakan awal itu bertujuan memastikan semua bakal calon mengisi borang itu dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlaku kesilapan pengisian borang semasa Hari Penamaan Calon.

"Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Malah, ia juga dapat memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun menurut Azhar Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon semasa Hari Penamaan Calon.

Beliau berkata selain itu, bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon, bakal calon diminta membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal serta diminta mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong untuk memasuki Pusat Penamaan Calon pada hari berkenaan.

Iklan

Kerusi Parlimen Sandakan kosong susulan kematian Anggota Parlimennya Datuk Stephen Wong Tien Fatt dari DAP, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah, pada 28 Mac lepas.

SPR menetapkan 27 April sebagai hari penamaan calon PRK Sandakan, 7 Mei sebagai hari pengundian awal dan 11 Mei sebagai tarikh mengundi. - Bernama