SELANGOR FC bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Sri Pahang 1-1 dalam aksi hujan lebat dan air bertakung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya sebentar tadi.
Skuad Tok Gajah terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti Stefano Brundo pada minit ke-74, namun kapten Selangor FC, Brendan Gan menyamakan kedudukan menuju penghujung babak kedua.
Keputusan itu meletakkan Gergasi Merah menerajui carta liga dengan tujuh mata, namun ia mungkin untuk tempoh sehari apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) membuat perhitungan dengan Negeri Sembilan FC di Paroi pada Isnin.
Selangor FC yang dibimbing Tan Cheng Hoe mendominasi babak pertama perlawanan menerusi gerakan-gerakan cantik duo tonggak, Faisal Halim dan Hein Htet Aung.
Namun benteng pasukan pelawat yang dikemudi Fadhli Shas dan Brundo ampuh bertahan.
Pasukan tuan rumah berpeluang di depan, namun jaringan Ayron del Valle dibatalkan kerana ofsaid.
Sri Pahang yang dikendalikan Fandi Ahmad yang mengumpan pasukan pelawat dengan serangan balas pantas juga berpeluang di depan, namun tandukan Kpah Sherman diselamatkan Khairulazhan Khalid.
Memasuki 15 minit babak kedua, para pemain dan ribuan penonton 'dihidangkan' dengan hujan lebat, namun ia tidak melemahkan semangat pasukan tuan rumah untuk terus menekan Sri Pahang.
Skuad Tok Gajah yang 'berkampung' di kawasan sendiri terus kental bertahan.
Ketika Selangor FC ghairah mengasak, Sri Pahang berjaya membuat serangan balas pantas menerusi Baqiuddin Shamsudin yang kemudiannya dijatuhkan oleh Sharul Nazeem dalam kotak penalti.
Nasib berpihak kepada Brundo apabila berjaya menyudahkan bola muntah yang ditepis Khairulazhan ketika sepakan penalti itu.
Skuad Gergasi Merah dalam dua aksi lalu menang ke atas Kelantan United 1-0 dan membelasah Kuching City FC 5-0.
Pasukan Tok Gajah pula terikat 1-1 pada aksi pertama dengan Negeri Sembilan FC dan membenam Kelantan FC 4-1.
Pada aksi keempat selepas ini Selangor FC akan berkunjung ke Stadium Bandaraya menentang Penang FC pada 12 Mac, manakala Sri Pahang pula akan bertandang ke Ipoh menentang Perak FC pada Rabu.