'Kutuk pemain import bukan budaya Pantai Timur'

Iklan
Tangkap layar video tular menerusi TikTok menunjukkan seorang pekerja sebuah pasar raya mengutuk secara berdepan penyerang TFC, Ivan Mamut menggunakan dialek Terengganu ketika pemain berkenaan membeli barangan basah.

KUALA TERENGGANU - Kita akui sebagai kelab penyokong, kita tak puas hati dengan prestasi TFC (Terengganu FC) dalam dua perlawanan sebelum ini, tapi jangan sampai mengutuk atau menghina pemain, kata Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu Darul Iman (TFFC), Mazuki Muhamad.

Ia susulan penularan video berdurasi 13 saat menerusi aplikasi TikTok memaparkan seorang pekerja sebuah pasar raya mengutuk secara berdepan penyerang pasukan bola sepak TFC, Ivan Mamut dalam dialek Terengganu ketika pemain kelahiran Croatia itu sedang berurusan untuk membeli barangan basah.

Iklan
Iklan

Marzuki berkata, tindakan itu adalah keterlaluan dan tidak wajar berlaku serta tidak mencerminkan jati diri masyarakat negeri ini.

"Memang dua perlawanan sebelum ini kami tak berpuas hati dengan kualiti yang ditunjukkan oleh pemain import.

Iklan

"Tipu kalau kami tak marah dengan kualiti import sekarang ini. Marah itu ada tapi jangan sampai menghina, mengutuk lebih-lebih lagi seperti yang tular di TikTok baru-baru ini," katanya.

Justeru, katanya, beliau berharap tiada lagi tindakan keterlaluan sedemikian yang akan berlaku selepas ini.

Iklan

"Harap lepas ini kalau nak buat sesuatu, fikir dulu dan apa yang berlaku itu tidak berulang lagi pada masa akan datang sebab ia mencerminkan budi pekerti dan akhlak kita. Bukan budaya orang Pantai Timur.

"Kita juga harap tidak lagi berlaku penyebaran video sebegitu kerana ia juga dikhuatiri akan menjejaskan nama kelab," ujarnya.

Sementara itu, wakil penyokong TFC, Radhie Abdullah Din berkata, biarpun prestasi pemain import belum memberangsangkan penyokong tidak boleh sewenang-wenangnya mencaci serta menyentuh peribadi mereka termasuk keluarga mereka.

"Semua tindakan kita ada batas, nak marah ada batas. Nak kutuk ada batas. Jangan sampai malukan mereka. Mereka masih di peringkat awal.

"Jangan sampai tindakan kita memalukan kita sendiri. Apa yang kita buat perlu berpada-pada," ujarnya.

Terdahulu tular video memaparkan seorang pekerja sebuah pasar raya yang sedang meletakkan barang basah yang mahu dibeli penyerang import itu ke dalam beg plastik sambil menyebut perkataan 'main macam' diikuti rakannya menyebut 'main macam natang (binatang), tak sedap sikit' (bermain tidak bagus) sambil ketawa.

Bagaimanapun, dua individu di dalam video itu telah membuat permohonan maaf atas ketelanjuran itu dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan berkenaan.

Mereka mengaku video itu diambil hanya untuk suka-suka dan tidak menyangka ada yang menularkan di media sosial.

"Assalamualaikum semua. Berkenaan video yang tular itu, amber (saya) mewakili yang merakam dan yang ada dalam video itu memohon maaf banyak atas kekurangan dan kesilapan, video itu diambil hanya untuk suka-suka sahaja dan dua pekerja itu letak dalam status WhatsApp.

"Tapi ada pihak lain ambil dan masuk dalam aplikasi TikTok, dua pekerja itu sudah padam video berkenaan, harap tidak berpanjangan dan mereka berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi, harap kesalahan ini dapat dimaafkan," katanya.

Dua perlawanan Liga Super 2023 sebelum ini menyaksikan TFC tewas 2-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan 1-0 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Malam ini, TFC bakal membuat perhitungan dalam aksi perlawanan ketiga menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak di Kuala Nerus.