SHAH ALAM - Program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian memulakan siaran edisi pertamanya hari ini selama satu jam 30 minit bermula jam 8.30 malam.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, program yang bakal dihoskan oleh pelakon popular tanah air, Azhar Sulaiman itu merangkumi tiga segmen.
Menurutnya, acara dimulakan dengan sesi temu bual melibatkan hos dengan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang akan berlangsung selama 30 minit.
"Kemudian diikuti dengan segmen town hall atau sesi soal jawab bersama penonton dan yang terakhir, segmen penutup.
"Tidak dinafikan ini adalah platform yang dinanti-nantikan oleh rakyat yang mana mereka boleh berkomunikasi secara terus dengan menteri terlibat.
"Dalam masa sama, tetamu jemputan berkenaan juga dapat menerangkan dengan lebih terperinci kepada rakyat berhubung soalan atau isu yang dibangkitkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Nik Justin memberitahu, menariknya, inti pati serta tetamu jemputan program berkenaan dipilih berdasarkan isu-isu semasa yang diketengahkan dalam akhbar Sinar Harian dan juga atas permintaan rakyat sendiri.
Bagaimanapun jelasnya, Town Hall Rakyat tidak hanya tertumpu kepada hal melibatkan pihak kerajaan semata-mata, tetapi ia lebih kepada mengupas dan mencari pencerahan berhubung isu yang menjadi kerisauan rakyat di negara ini.
"Jadi, penganjurannya juga akan mengambil kira isu-isu terkini dan hangat yang mendapat permintaan tinggi daripada pembaca setia Sinar Harian.
"Dari situ, kita boleh lihat bagaimana akhbar ini berupaya menjadi platform terbaik dalam membawa suara rakyat untuk berkomunikasi dengan kerajaan atau pihak bertanggungjawab yang lain.
"Diharapkan edisi pertama ini akan menjadi satu titik baharu dalam pembawaan program yang hebat daripada Sinar Harian,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, dijangka seramai hampir 500 pengunjung yang akan hadir di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam bagi memeriahkan suasana pada malam ini.
Ujarnya, baik agensi kerajaan, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun persatuan penduduk akan turut hadir bagi menyatakan sokongan, selain tidak mahu melepaskan peluang terlibat sama dalam sesi soal jawab bersama tetamu jemputan.
"Antara penonton yang akan datang ialah para pemain industri komunikasi dan digital sendiri, NGO dan wakil daripada persatuan penduduk di sekitar Lembah Klang, seperti Persatuan Penduduk SS 5C Kelana Jaya dan Persatuan Penduduk Jalan Kebun Shah Alam.
"Apatah lagi kita juga menyediakan set studio yang lebih santai, terbuka dan mudah didekati. Itu antara kelainan yang akan dibawa.
"Namun jangan khuatir, bagi mereka yang tidak dapat hadir ke kompleks ini boleh menontonnya secara langsung di semua platform digital Sinar Harian,” katanya.