Sesi Pemukiman Wisma Putra bincang hala tuju dasar luar

Iklan
Wisma Putra

PUTRAJAYA - Kementerian Luar (Wisma Putra) akan mengadakan Sesi Pemukiman selama dua hari bermula Isnin yang bertujuan untuk memperkukuh keakraban dan membincangkan hala tuju dasar luar Malaysia.

Bertemakan ‘Diplomasi dalam Dunia Global dari Lensa Malaysia Madani’, pemukiman yang melibatkan semua Ketua Jabatan dan Setiausaha Bahagian di peringkat kementerian itu turut mempelawa ahli Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri (CCFP).

Iklan
Iklan

"Pemukiman yang berkesinambungan daripada perbincangan sewaktu Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Kesembilan (HOMC9) pada 6 dan 7 September 2022, sesi ini merupakan satu wadah bagi warga Wisma Putra untuk menilai aspirasi, dasar dan kepentingan strategik Kerajaan demi menjaga kepentingan negara,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sesi Pemukiman itu merangkumi tujuh sesi utama yang akan menampilkan beberapa pembicara jemputan dan pakar rujuk.

Iklan

Antara topik yang akan dibincangkan termasuk Hala Tuju Dasar Luar Malaysia; Hala Tuju Wisma Putra; Diplomasi Ekonomi yang Proaktif sebagai Enjin Pertumbuhan; dan Memenuhi Harapan Malaysia dalam Bantuan Bencana Global

Turut akan dibincangkan pada pemukiman itu mengenai Perkongsian Pengalaman dan Aspirasi oleh Bekas Duta-Duta Besar Malaysia; Meningkatkan Potensi Kuasa Lunak Malaysia; dan Malaysia MADANI: Membentuk Naratif Antarabangsa.

Iklan

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka menyempurnakan Sesi Rumusan Pemukiman itu dengan berkongsi idea, rangkuman dan hasil dapatan mengenai isu-isu berkepentingan yang dibincangkan sepanjang sesi dua hari itu.

"Hasil perbincangan Sesi Pemukiman itu dijangka membantu kementerian dan kerajaan dalam penggubalan dan pelaksanaan strategi-strategi yang akan membuka peluang lebih besar bagi meletakkan Malaysia dalam tumpuan global secara strategik,” menurut kenyataan itu. - Bernama