TAPAH - Meskipun belum merekodkan sebarang kemenangan, harapan tinggi tetap diletakkan kepada kesebelasan utama Perak FC mengharungi baki perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini.
Bekas pemain Perak dan kebangsaan era 80-an, Ishsam Shahruddin berkata, masih ada ruang untuk skuad bimbingan Datuk Lim Teong Kim itu memperbaiki prestasi dan mutu permainan selepas aksi kurang memberangsangkan dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Beliau yang pernah merangkul gelaran Piala FA ketika pertama kali diperkenalkan pada 1990 bersama skuad Seladang berkata, pemain-pemain muda yang membarisi pasukan ketika ini, memberi kelebihan untuk mempamerkan semangat juang tinggi dan tidak mudah mengalah.
"Melihat kepada perkembangan Perak FC setakat ini, saya yakin masih ada sinar untuk mereka memperbaiki permainan.
"Kita ada bakat pemain yang boleh diketengahkan, juga jurulatih yang berpengalaman.
"Sudah tentu dengan komitmen beliau, kita dapat mengembalikan kecemerlangan bola sepak Perak, hanya mungkin perlukan masa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pengenalan Akademi Bola Sepak YB Ishsam U-21 di Stadium Mini Tun Ahmad Sarji dekat sini pada Ahad.
Pada aksi pertama, Perak kalah 4-1 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Dua perlawanan seterusnya, The Bos Gaurus yang dibarisi majoriti pemain bawah 23 tahun terikat tanpa jaringan dengan PDRM FC dan Kelantan United FC (KUFC).
Sementara itu, Ishsam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning berkata, penubuhan akademi bola sepak akan dijadikan platform mengasah kemahiran anak-anak muda bermain bola sepak untuk diketengahkan di peringkat daerah dan negeri.
Katanya, setakat ini, seramai 60 peserta kalangan mereka berusia 12 hingga 21 tahun menyertai latihan dan bimbingan akademi berkenaan di bawah kendalian bekas pemain bola sepak Kementerian Kesihatan, Yusry Abdullah.
"Selepas pandemik Covid-19, banyak aktiviti sukan termasuk bola sepak di daerah-daerah tidak dapat diteruskan.
"Jadi kita ambil inisiatif ini untuk membudayakan semula sukan kalangan anak muda.
"Kita mulakan penubuhan akademi ini di Parlimen Tapah dahulu, melihat kepada pencapaiannya nanti, insya-ALLAH akan kita usahakan untuk di daerah lain pula," katanya.