Hari gembira Salah

Iklan
Salah (depan) meledak dua gol ketika membantu Liverpool mengalahkan United 7-0 di Anfield pada Isnin. - Foto EPA

DUA gol pemain sensasi, Mohamed Salah ketika membantu Liverpool membelasah Manchester United 7-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Isnin sebagai hari terbaik dalam hidupnya.

Ia juga menjadi memori indah buat pemain Mesir itu apabila menjadi penjaring terbanyak kelab Merseyside menerusi 129 gol mengatasi rekod milik Robbie Fowler.

Iklan
Iklan

"Saya tidak dapat menggambarkannya. Ia adalah salah satu daripada hari terbaik dan memecahkan rekod yang saya cari sejak tiba ke kelab ini,” ujar Salah.

Salah menyumbat gol keempat serta keenam untuk The Reds pada separuh masa kedua di Anfield dan menanggalkan bajunya untuk meraikan kemenangan terbesar kelabnya ke atas United.

Iklan

Fowler turut mengucapkan tahniah kepada Salah menerusi Twitternya.

"Kami beraksi dengan sasaran untuk menang. Setiap pemain teruja untuk memburu jaringan dan kami meledak tujuh gol. Saya harap kemenangan ini akan meningkatkan semangat kami.

Iklan

"Kami boleh terus meraih kemenangan sehingga akhir musim dan berada di tangga keempat terbaik liga,” ujar Salah.

Kemenangan keempat Liverpool dalam lima aksi liga menyaksikan The Reds mengatasi Newcastle United untuk menghuni tempat kelima dengan 42 mata, kurang tiga di belakang Tottenham Hotspur di tangga keempat.

"Saya rasa kami berjaya memanfaatkan semua peluang dan penyudah sangat hebat daripada semua pemain,” kata Salah.

Selain dua gol Salah, Cody Gakpo dan Darwin Nunez masing-masing menjaringkan dua gol sebelum Roberto Firmino yang masuk dari bangku simpanan melengkapkan kemenangan besar Liverpool.


Persembahan luar biasa Liverpool

LIVERPOOL disifatkan beraksi dengan cemerlang ketika menewaskan Manchester United 7-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield, awal pagi Isnin

Gol The Reds dijaringkan Cody Gakpo minit ke-43 dan m-40, Darwin Núnez (m-47, m-75), Mohamed Salah (m-66, m-83) sebelum Roberto Firmino melengkapkan malam pesta tuan rumah minit ke-88.

"Sejujurnya tiada kata-kata untuk persembahan menakjubkan malam ini. Ia sesungguhnya sesuatu yang cukup luar biasa. Kami bermain pada tahap terbaik menentang pasukan berprestasi tinggi.

"Separuh masa pertama mereka mendapat sedikit peluang, namun kami kemudian menjaringkan gol luar biasa dengan penyudah hebat pada lewat perlawanan.

"Separuh masa kedua, permulaannya cukup baik, penyudahnya cukup bagus, semuanya cukup bagus! Itulah bola sepak semuanya boleh berlaku.

"Saya berkata sebelum perlawanan, United berada dalam prestasi di musim yang hebat, biarpun kami tidak begitu gembira dengan musim kami setakat ini,” kata Klopp selepas perlawanan.

Untuk rekod, Salah yang meledak dua gol muncul penjaring terbanyak Liverpool di pentas Liga Perdana Inggeris, mengatasi Robbie Fowler dengan 129 gol.

Klopp yang teruja dengan prestasi pemain Mesir itu, yang turut menghadirkan dua bantuan gol dalam perlawanan itu menyifatkan pemain tersebut individu yang luar biasa.

"Kami amat menghargainya sekarang tetapi pada masa hadapan para penyokong akan melihat semula dan menyedari kelab ini memiliki pemain yang cukup istimewa,” kata Klopp.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool naik ke tangga kelima liga walaupun Newcastle United di tangga keenam memiliki satu perlawanan dalam tangan ke atas kelab Merseyside tersebut.

Liverpool akan berkunjung ke Stadium Vitality pada Sabtu ini sebelum terbang ke Santiago Bernabéu untuk aksi timbal balik kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, menentang Real Madrid, 16 Mac.