SEGAMAT - Seorang ibu masih trauma kerana menyaksikan sendiri anak bongsunya berkali-kali terjatuh disebabkan arus deras banjir ketika cubaan menyelamatkan diri di Kampung Baru Chaah, Rabu lepas.
M. Kalaivani, 46, berkata ketika kejadian pada 5.30 pagi itu, dia sudah bangun tidur dan menyedari paras air di dalam rumah sudah sampai paras lutut.
"Anak sulung saya kemudiannya beritahu yang kawannya menelefon dan cakap air dah naik di Pekan Chaah.
"Apabila kami buka pintu, rupanya sudah paras pinggang dan kami buat keputusan untuk redah ke sekolah berhampiran sebab ada tingkat lebih tinggi," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Meskipun sekolah tersebut tidak jauh dari rumah, namun mereka mengalami kesukaran sebab arus yang deras sehinggakan anak bongsu lelakinya yang berusia lapan tahun berkali-kali jatuh, serta terpaksa memanjat pagar sekolah kerana pintu lain yang dibuka, terlalu jauh, kata Kalaivani.
"Masa tu bantuan tiada sebab kami dengar pekan ni dah macam pulau, tiada bantuan boleh masuk. Kami duduk di tingkat tiga sekolah dan berlapar sehingga jam 8 malam itu, sehinggalah diberikan roti dan air mineral," katanya.
Ibu kepada empat orang anak itu, yang telah tinggal di rumah tersebut sejak lahir, tidak pernah mengalami kejadian banjir yang sangat buruk sebelum ini.
Sementara itu, suaminya K. Balakrishnan, 44, sebelum itu mengangkat dua anaknya yang masih kecil secara bergilir-gilir keluar dari rumah kerana arus yang deras.
"Saya juga ada nampak ramai orang yang duduk di atas bumbung sambil menantikan bantuan," katanya.
Pada kejadian Rabu lepas, Pekan Chaah dan kawasan sekitar 'terputus hubungan' dan menjadi seakan pulau sehingga menyukarkan pihak berkuasa untuk menyelamatkan mangsa banjir.
Ia turut mengorbankan dua warga emas di Jalan Kongsai, Chaah, yang ditemukan pihak berkuasa selepas air surut, tiga hari lepas.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pekan Chaah dan kawasan sekitar menyaksikan banyak kenderaan masih tersadai akibat banjir.
Selain itu, pagar di Balai Polis Chaah kelihatan rosak teruk serta dipenuhi sampah sarap yang tersangkut ketika dibawa arus banjir.
Turut terkesan ialah Klinik Kesihatan Chaah dengan ramai petugas kesihatan dan sukarelawan gigih membersihkan kerusi pesakit serta lain-lain peralatan yang bersalut lumpur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Ngwe Hee Sem dari Melaka, turut dilihat turun padang bersama-sama kakitangannya, membantu warga Chaah terutamanya warga emas membersih rumah selain membantu petugas klinik berkenaan. - Bernama