ALOR SETAR - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyasarkan untuk menambah keahlian Sahabat AIM kepada 400,000 menjelang akhir tahun ini.
Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat AIM, Ya’acob Omar berkata, pihaknya sedang mengenal pasti lebih ramai golongan sasaran yang layak mendapat manfaat pembiayaan AIM.
Menurutnya, ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu melihat perkhidmatan AIM dapat disalurkan kepada lebih ramai rakyat kurang berkemampuan.
"Jika pada tahun 1990, hanya ada sekitar 3,200 orang Sahabat AIM, kini setelah tiga dekad, jumlahnya melebihi 300,000 di seluruh negara,” katanya pada majlis penyerahan zakat perniagaan dan bantuan Amal Musa’adah Bank Islam, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed. Pada majlis itu, AIM menerima bantuan Amal Musa’adah bernilai RM70,000 untuk diagihkan kepada 56 Sahabat AIM dalam bentuk peralatan perniagaan.
Ya’acob berkata, kolaborasi bersama Bank Islam bawah program bantuan Amal Musa’adah Bank Islam telah memasuki fasa kedua setelah dilaksanakan pada 2017.
"Program ini bertepatan dalam menyokong objektif AIM membangunkan ekonomi kalangan isi rumah berpendapatan rendah. Selain penyediaan pembiayaan modal secara kecil-kecilan, bimbingan serta pemantauan berterusan, sokongan pelbagai pihak amat diperlukan bagi memastikan objektif dicapai,” katanya.
Menurutnya, program ini telah memanfaatkan 36 orang Sahabat dalam bentuk barang modal dengan jumlah keseluruhan lebih RM90,000.
"Bantuan barang modal yang diterima Sahabat terbukti berjaya meningkatkan kualiti dan kuantiti produk dan perkhidmatan masing-masing, sekaligus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Ya’acob berkata, AIM merupakan sebuah institusi kewangan mikro yang diamanahkan kerajaan untuk membantu membasmi kemiskinan terutama kepada golongan berpendapatan rendah.
"Kami lebih memahami golongan sasar dan akan membentuk mereka menjadi usahawan berdisiplin dan kental mengharungi rintangan dalam perniagaan. Malah aspek disiplin kredit Sahabat, konsep musyawarah dalam pembuatan keputusan dan penyeliaan rapi secara berperingkat diberi penekanan dalam model kewangan mikro AIM,” katanya.
Menurutnya, pihaknya berharap kolaborasi tidak hanya terhad kepada bentuk program bantuan, sebaliknya meneroka lebih banyak sinergi untuk manfaat kedua-dua pihak.