Liek Hou unggul di Sepanyol

Iklan
Liek Hou muncul juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol Tahap 1 di Toledo pada Ahad malam. Foto Facebook Cheah Liek Hou.

JUARA dunia perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), Cheah Liek Hou menceriakan arena badminton negara apabila muncul juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol Tahap 1 di Toledo pada Ahad malam.

Kejayaan pemain berusia 35 tahun itu diraih selepas menewaskan Fang Jeng Yu dari Taiwan 21-7, 21-13 pada aksi final dalam tempoh 27 minit.

Iklan
Iklan

Pemain yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga berdepan cabaran kesihatan apabila terpaksa bertarung dengan cuaca sejuk yang mengakibatkannya mengalami selesema, batuk teruk dan kahak berdarah.

"Awal pagi cuaca mencecah -4 darjah celcius. Memang saya tak biasa di negara yang sejuk sampai kondisi saya drop.

Iklan

"Saya bertahan dan makan ubat sampai ke final dan akhirnya menang Kejohanan ini untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

"Saya akan menjadikan ini sebagai satu pengajaran apabila menyertai kejohanan yang berada di cuaca yang sejuk,” catat Liek Hou di Facebooknya malam Ahad.

Iklan

Kejayaan merangkul gelaran itu juga dilihat mengubat kekecewaan Liek Hou selepas hanya bergelar naib juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol Tahap 2 bulan lepas.

Kemenangan itu juga menjadi pencetus semangat buat Liek Hou apabila bertekad bekerja lebih keras untuk mendapatkan prestasi luar biasa buat Malaysia.

Beliau turut berterima kasih kepada pelbagai pihak yang menyokongnya termasuk jurulatih, Nova Armada.

"Pingat emas ini juga adalah hadiah yang datang awal sebab hari jadi saya dalam 3 hari lagi (8 Mac),” katanya.

Liek Hou juga mencipta sensasi pada November 2022 apabila merampas semula gelaran juara dunia acara tersebut dalam Kejohanan Para Badminton Dunia di Tokyo, Jepun.

Ia merupakan gelaran juara dunia ke-12 pemain itu menerusi kategori perseorangan lelaki SU5 (tujuh kali) dan beregu lelaki SU5 (lima kali).