Cuaca di Johor dilaporkan baik setakat 12 tengah hari

Iklan
Petugas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengemas semula peralatan yang digunakan di PPS.

JOHOR BAHRU – Keadaan cuaca di Johor dilapor semakin bertambah baik apabila hanya tiga daerah masih dilanda hujan setakat jam 12 tengah hari pada Isnin.

Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, berdasarkan pemantauan cuaca, hujan dilaporkan berlaku di daerah Mersing, Pontian dan Kota Tinggi Mersing ketika ini.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan laporan, keadaan cuaca di Johor semakin baik apabila hampir kesemua daerah dilaporkan cerah.

"Bagaimanapun, daerah Mersing masih mencatatkan hujan berterusan sejak 4 pagi Isnin selain Pontian dan Kota Tinggi dilaporkan hujan pada tengah hari.

Iklan

"Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan tiada amaran ribut petir setakat ini namun orang ramai khususnya di Kluang, Mersing dan Kota Tinggi perlu berwaspada kerana dijangkakan hujan berterusan di daerah berkenaan hari ini (Isnin),” katanya.

Namun dalam masa sama, beberapa jalan juga dibuka kepada semua kenderaan termasuk kenderaan ringan.

Iklan

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup setakat 12 tengah hari tadi.

Katanya, penutupan itu memyaksikan hanya 264 PPS yang masih beroperasi di seluruh negeri ketika ini bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.

"Di sebalik enam PPS yang tutup, jumlah mangsa banjir yang terjejas didapati sedikit meningkat apabila mencatatkan 49,543 mangsa daripada 14,149 keluarga pada jam 12 tengah hari berbanding 49,410 mangsa daripada 14,125 keluarga setakat 8 pagi (Isnin),” katanya.