KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meminta kerajaan persekutuan untuk menjelaskan tuntutan bayaran tunai petroleum secara terus kepada kerajaan negeri demi kepentingan rakyat.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, negeri itu berhak menerima royalti terbabit berdasarkan Perjanjian Kerajaan Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975.
"Fasal 1(1) perjanjian itu jelas menyatakan Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara tahunan sebanyak yang setara dengan jumlah lima peratus daripada nilai petroleum didapati dan diperoleh di Kelantan.
"Minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 menyatakan bahawa ‘"...Memansuhkan program wang ehsan dan bayaran tunai petroleum akan disalurkan secara terus kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu tanpa mengambil kira status negeri tersebut yang dikuasai oleh pembangkang," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Isnin.
Beliau memberi maklum balas itu susulan kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said melalui Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu yang menyatakan bahawa hak mendapatkan bayaran tunai petroleum mesti berada dalam perairan tiga batu nautika dan penyaluran ialah atas nama wang ihsan.
Menurut Ahmad, Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 5 November 2015 menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) atas asas mendapati kerajaan persekutuan mengambil peluang dengan mengehadkan sempadan setiap perairan negeri kepada tiga batu nautika sekali gus menafikan hak Kelantan menerima bayaran tunai petroleum.
"Kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah dan usaha dalam menuntut bayaran tunai petroleum termasuk melalui enam siri rundingan dengan Perdana Menteri bermula tahun 2013 hingga 2021.
"Satu pertemuan turut diadakan bersama Pengerusi dan Pengurusan Tertinggi Petronas pada 10 Julai 2020,” katanya.