MELAKA - Guru-guru Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) digesa mendidik kanak-kanak dengan cara adab bersalaman yang betul.
Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata, teknik mengajar bersalaman dengan mencium tangan lebih baik berbanding senario sekarang yang mencium pipi dan dahi.
"Semua guru tadika JAIM perlu menerapkan cara adab bersalaman yang betul iaitu meletakkan tangan disalam di hidung dan dicium, bukan di dahi mahupun pipi.
"Sebelah tangan guru pula mestilah diletakkan atau memegang mesra pada bahagian kepala kanak-kanak untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Amanat bersama guru tadika JAIM di Masjid Al-Azim, di Kampung Bukit Palah, di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Che Sukri berkata, nasib seramai 374 guru tadika JAIM sentiasa mendapat pembelaan termasuk pemberian elaun khas tidak lama lagi.
Katanya, perkara baik itu akan diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas meluluskan kertas cadangan berhubung pembayaran elaun bulanan tersebut.
Menurutnya, elaun khas yang akan dinikmati golongan itu sebagai tanda kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan mereka sekali gus mengurangkan beban guru dalam keadaan ekonomi semasa.
"Secara tidak langsung memberi perangsang dan semangat kepada guru-guru untuk berdedikasi mendidik kanak-kanak berusia lima dan enam tahun yang berdaftar di tadika bawah JAIM," katanya.