SHAH ALAM - Inisiatif Projek Kebun Komuniti Integrasi dicetuskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaras dengan agenda kerajaan Selangor dalam menangani isu kos sara hidup dihadapi penduduk bandar dan sub-bandar.
Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, usaha mahasiswa Fakulti Pentadbiran Perniagaan UKM itu juga dapat mempraktikkan ilmu pengurusan dan pentadbiran dipelajari di universiti.
"Usaha ini memberikan pengalaman sebenar kerja lapangan yang tidak didapati di dalam bilik kuliah seperti pengurusan krisis dan pelan kontingensi.
"Malah, kebun komuniti ini akan menjadi pusat pengetahuan atau maklumat mengenai inisiatif dan kaedah kebun komuniti moden berintegrasi kepada komuniti setempat dan dilihat mampu membangunkan inisiatif ekopelancongan setempat," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Perasmian Program Kebun Komuniti Integrasi bertemakan"Sayur Untuk Keluarga Anda” anjuran UKM di Desa Impian, Kampung Merbau Sempak di sini.
Mohd Khairuddin kemudiannya turut merasmikan Kebun Komuniti Integrasi Desa Impian.
Kebun tersebut dibangunkan dengan konsep kebun komuniti moden berintegrasi dengan menggabungkan kaedah hidroponik, akuaponik kombinasi ternakan ikan dan hidroponik, fertigasi serta baja kompos bokashi.
Hadir sama, penyelia dan ketua projek tersebut, Prof Dr Khairul Anuar Mohd Ali dan Jerry Shahnizal Ab Aziz, serta agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Negeri Selangor dan Yayasan Waqaf Malaysia.
Terdahulu, Projek Kebun Komuniti Integrasi diusahakan kumpulan mahasiswa terbabit yang juga dikenali sebagai Kumpulan Paprika mendapat tajaan berjumlah RM23,150 daripada agensi kerajaan, pihak swasta dan orang perseorangan.
Inisiatif tersebut bertepatan dengan konsep Malaysia Madani iaitu Kemapanan, Kesejahteraan dan Ihsan serta mendapat sambutan yang sangat baik daripada penduduk Desa Impian, Kampung Merbau Sempak dan Kampung Kubu Gajah.
Ini kerana ianya mudah direalisasikan oleh komuniti, tidak memerlukan ruang yang banyak dan pengurusan yang minimum.