SHAH ALAM - Seorang pengguna TikTok akan dituduh berhubung penularan video yang memaparkan seekor anak monyet didera sehingga mati di sebuah rumah di Setia Alam di sini pada Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan dijalankan setakat ini mendapati suspek bertindak sedemikian untuk menjana pendapatan daripada orang ramai yang melihat video tersebut menerusi aplikasi Telegram.
"Setakat ini seramai empat saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Perundangan Negeri Selangor pada 2 Februari lalu dan seterusnya diedarkan pada 22 Februari ke Jabatan Peguam Negara untuk kajian.
"Arahan daripada Jabatan Peguam Negara pada 23 Februari adalah supaya siasatan diteruskan untuk mendapatkan laporan hasil analisa daripada pihak forensik," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, kes berkenaan sentiasa menjadi keutamaan pihak polis dan tidak diipandang sambil lewa sebagaimana didakwa sesetengah pihak.
"Pertuduhan ke atas suspek terlibat akan dijalankan segera selepas siasatan dilengkapkan," katanya.
Januari lalu, tular video di media sosial memaparkan seekor anak monyet didera sehingga mati oleh seorang individu.
Menerusi video tular tersebut, anak monyet itu dipukul, dicacatkan anggota badan serta dibakar bahagian kaki dan tangan.