Pemilihan UMNO: Tonjol kekuatan diri, jangan kempen nama Presiden

Iklan
Bekas Exco Wanita UMNO, Datuk Jamelah Bakar

SHAH ALAM - Calon yang menawarkan diri mempertahankan jawatan atau bertanding semua jawatan sayap Wanita dalam Pemilihan UMNO kali ini digesa untuk berkempen menggunakan kekuatan sendiri, bukannya mengaitkan dengan Presiden atau pimpinan tertinggi lain.

Bekas Exco Wanita UMNO, Datuk Jamelah Bakar berkata, ia penting bagi memastikan calon yang dipilih itu mampu melaksanakan kerja dengan sebaiknya.

Iklan
Iklan

"Adalah menjadi perkara penting bagi pihak yang menawarkan diri bertanding pada pemilihan kali ini tidak mengaitkan atau menggunakan nama Presiden untuk mendapatkan sokongan.

"Sebaliknya, bertandinglah atas kelayakan atau kebolehan diri sendiri kerana kita mahu mereka yang memegang jawatan nanti mampu bekerja untuk parti.

Iklan

"Selain itu, mereka juga harus buktikan pakej apa yang ada pada mereka sebagai faedah untuk parti, rakyat dan negara," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Jamelah yang juga bekas Exco Wanita dari 2008 sehingga 2018 lagi, perwakilan juga perlu memastikan calon yang dipilih nanti mampu melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

Iklan

"Kita tidak mahu calon yang bakal membarisi pimpinan Wanita UMNO dipilih atas faktor peribadi semata-mata tetapi perlu memastikan mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik untuk menperkukuhkan parti," katanya.

Selain itu katanya, calon Pengerusi Tetap Wanita UMNO juga haruslah dipilih daripada tokoh yang berpengalaman.

Ini kerana katanya, individu yang mengisi jawatan tersebut haruslah mereka yang cekap dan arif mengenai perlembagaan parti serta dihormati semua perwakilan.

Pemilihan sesi 2023-2026 menyaksikan dua calon sah bertanding bagi jawatan Ketua Wanita UMNO iaitu Datuk Seri Dr Noraini dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Kedudukan Naib Ketua juga menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Secara keseluruhan 69 orang calon menawarkan diri untuk pelbagai jawatan Pergerakan Wanita UMNO dengan dua untuk Pengerusi Tetap dan empat calon bagi Timbalan Pengerusi Tetap.

Sementara itu 61 orang disenaraikan sebagai calon Exco Pergerakan Wanita yang akan mengisi 20 jawatan berkenaan pada pemilihan 11 Mac ini.