JOHOR BAHRU - Biarpun telah dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing berikutan penutupan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Pueri (MBIP) pada Isnin, namun rata-rata mangsa banjir dari tiga kampung di Skudai menyuarakan kebimbangan terhadap kerosakan harta benda akibat banjir.
Biarpun ia bukanlah kali pertama banjir melanda Kampung Laut, Kampung SK dan Kampung Sepakat Baru, namun kali ini banjir disifatkan paling teruk hingga menenggelamkan banyak harta benda berharga seperti motosikal dan kereta termasuk perkakas elektrik di dalam rumah mereka.
Situasi itu membuatkan ramai di kalangan mangsa banjir terpaksa menanggung kerugian akibat bencana tersebut.
Katanya, ketika itu dia hanya mencapai apa sahaja barangan yang ada di depan mata sebelum segera keluar dari rumah berkenaan.
"Masa banjir tu tengah tidur... memang ‘seram’ juga sebab tengok banyak barang dah tenggelam masa tu. Tak boleh buat apa dah, dulu tak macam ni, tapi sekarang ni kereta pun air ‘naik’ juga.
"Saya di sini pun dah dekat seminggu jugaklah dan itu yang buat risau dengan barang-barang kat rumah tu... tapi rasanya memang dah tak dapat diselamatkanlah.
"Air pun dah naik tinggi dan tenggelam habis.. ini pun boleh balik ni memang kena bersihkan semua, mana yang boleh pakai kita simpan yang tak boleh pakai terpaksa buang je lah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Untuk rekod, Abdul Rahim merupakan sebahagian daripada 330 mangsa daripada 85 keluarga yang ditempatkan di PPS bekenaan susulan banjir yang melanda kawasan berkenaan.
Pendapat itu turut dipersetujui oleh penduduk Kampung Sepakat Baru, Sobariah Ahmad, 41 yang mengakui risau terhadap barang-barang yang ditinggalkannya ketika berpindah ke PPS berkenaan.
Katanya, biarpun mengetahui sebahagian besar barang-barang berkenaan sudah tidak dapat diselamatkan lagi, namun dia tetap berharap agar masih ada barangan yang mampu berfungsi.
"Alhamdullilah hari ni saya dah dapat balik ke rumah... dah dekat seminggu rasanya saya dengan keluarga tinggal di PPS.
"Tapi saya risaukan keadaan rumah, air banjir naik tinggi hingga paras pinggang, sebelum ni tak pernah lagi macam ni.
"Sebab tu saya risaukan, barang-barang elektrik macam televisyen, peti ais, mesin basuh di rumah tu. Harap masih boleh diselamatkan lagi,” katanya.
Sementara itu, menurut Rizal Hamdan, 43, selepas penduduk selesai membersihkan rumah masing-masing, mereka juga perlu bersedia pula untuk berdepan dengan kemungkinan berlakunya ‘air pasang besar’ pada 7 dan 8 Mac ini.
Malah katanya, persediaan yang dibuat kali ini pastinya lebih rapi bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
"Alhamdulillah, hari ni (Isnin), PPS di Dewan MBIP ditutup sejak dibuka 28 Februari lalu... penduduk akan pulang ke rumah masing-masing bagi kerja-kerja pembersihan.
"Namun dijangkakan berlaku ‘air pasang besar’ pada 7 dan 8 Mac nanti... jadi kena bersedia jugalah untuk sebarang kemungkinan.
"Oleh itu, saya sebagai ketua masyarakat di sini, berharap penduduk Kampung Laut dan Kampung SK melakukan persiapan yang sewajarnya nanti,” katanya.