KDN lulus usul UMNO tak pertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden

Iklan
KDN memutuskan untuk memberi pengecualian kepada UMNO berhubung kelulusan terhadap usul tambahan PAU untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti berkenaan. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1) (c) (iv) Akta 832 kepada UMNO berhubung kelulusan terhadap usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah meneliti mengenai ketetapan yang telah dibuat oleh PAU 2022 daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 3 Mac lepas.

Iklan
Iklan

"Merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO, Kementerian berdasarkan Seksyen 70, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1) (c) (iv) Akta 832 kepada UMNO.

"Ini berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti itu akan datang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa usul tambahan PAU untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah diterima RoS.

Ahmad Zahid berkata, UMNO telah menerima surat bertarikh 3 Mac 2023 daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan bahawa RoS telah menerima usul yang telah diluluskan oleh PAU.

Iklan

Katanya, melalui surat tersebut, Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan kepada Seksyen 13(1)(c)(14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Ahmad Zahid menunjukkan surat daripada RoS itu susulan terdapat dua laporan media berbeza mengenai usul tambahan yang diluluskan PAU 2022.

Sebelum ini, usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin.

Susulan daripada itu, dua ahli UMNO pada 20 Januari lalu menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 itu.

Aduan dikemukakan oleh ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.