ECERDC sasar tarik RM9.5 bilion pelaburan ke Pahang

Iklan
Wan Rosdy hadir mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya pada Selasa.

KUANTAN - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan RM9.5 bilion pelaburan komited ke Pahang tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran itu peningkatan lebih 40 peratus berbanding RM5.5 bilion pelaburan komited yang dicapai tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaburan berpotensi termasuk dalam sektor pembuatan, perniagaan tani, pelancongan, minyak dan gas, petrokimia serta sektor tenaga boleh diperbaharui dijangka akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan kepada rakyat Pahang.

"Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, ECERDC berjaya mencapai RM2.07 bilion pelaburan komited di Pahang hasil usaha promosi intensif dengan kerjasama erat kerajaan negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Wan Rosdy sebelum itu hadir mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya.

Beliau berkata, ECERDC diyakini akan mengekalkan momentum pelaburan dan meningkatkan aktiviti promosi pelaburannya untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi ke negeri Pahang.

Iklan

"Projek dan inisiatif strategik yang dirancang ECERDC untuk negeri Pahang termasuk penambahbaikan infrastruktur dan program pembangunan modal insan yang dijalankan seiring dengan usaha promosi pelaburan akan membantu mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan.

"Pada mesyuarat ini, jawatankuasa ICC juga telah diberi taklimat mengenai status inisiatif pembangunan industri kenderaan rekreasi (RV) di negara ini.

"Saya dimaklumkan pengurusan tertinggi syarikat pengeluar RV Jerman, pengeluar komponen RV dan penganjur pameran perdagangan karavan telah melawat Taman Automotif Pahang (PAP) dan Taman Teknologi Pahang (PTP) untuk meneroka potensi pelaburan dalam pemasangan dan pembuatan RV di Wilayah ECER pada 7 hingga 9 Februari lalu," jelasnya.

Tambah beliau, ECERDC juga dalam usaha"mencipta destinasi” bagi merancakkan sektor pelancongan dan memacu ekonomi tempatan dengan menaik taraf Pantai Hiburan di Rompin yang telah dikenal pasti sebagai lokasi Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di Wilayah ECER.

"Kerja naik taraf merangkumi pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket dan kemudahan awam lain," ujarnya.

Sementara itu katanya, pihak ICC Pahang turut diberi taklimat mengenai projek ECERDC lain yang sedang dijalankan termasuk kerja-kerja menaik taraf Jeti Kampung Salang, Pulau Tioman, paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng dan pembangunan Pantai Hiburan Rompin.

"Terima kasih kepada ECERDC yang menyokong agenda pembangunan kerajaan terutamanya dalam memangkin pelaburan sektor pertumbuhan baharu kerana ini akan menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berkualiti di samping membangunkan tenaga kerja ECER.

"Menerusi ECERDC, sektor ekonomi di Pahang diharap dapat terus dipacu dan berkembang dengan lebih baik seterusnya memberi manfaat kepada rakyat ke arah kesejahteraan dan kestabilan negeri," katanya.