PARIT - Menjelang Ramadan, pasangan suami isteri warga emas diuji apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran dua rumah di Kampung Telok Manis dekat sini pada malam Isnin.
Dalam kejadian sekitar jam 9.50 malam itu, Shaperi Saba, 64, dan isteri, Norhashimah Yahya, 61, bersama seorang anak perempuan mereka terselamat apabila sempat melarikan diri.
Empat cucu Shaperi yang pulang ke kampung sempena cuti sekolah kebetulan berada di rumah jiran semasa kejadian.
Keadaan api marak bagaimanapun memusnahkan kediaman dua tingkat itu menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.
Shaperi ketika ditemui mengakui sedih dan sayu melihat keadaan rumah yang didiami hampir 30 tahun itu musnah dalam sekelip mata.
"Dekat rumah inilah kenduri anak-anak berkahwin, tempat kami anak beranak berkumpul lebih-lebih lagi waktu berbuka puasa dan hari raya.
"Sekarang dah tak ada, semuanya habis," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dia menganggap kejadian yang berlaku sebagai ujian menjelang Ramadan yang bakal disambut umat Islam dua minggu lagi.
Katanya, buat masa ini, dia dan isteri akan tinggal sementara di rumah jiran yang ditinggalkan kosong.
"Saya anggap ini ujian nak puasa, sedih memanglah sedih, tetapi syukurlah tiada yang hilang nyawa. Mujurlah kami belum tidur dan dapat sedar awal akan kejadian.
"Sudah tertulis sampai di sini sahaja rezeki kami duduk di rumah itu. Mungkin raya nanti, kami sambut di rumah ini sajalah (rumah jiran)," katanya.
Kebakaran dipercayai bermula dari tingkat atas kediaman sebelum merebak ke sebuah lagi rumah terletak bersebelahan yang didiami seorang wanita.
Wanita berusia 21 tahun itu terselamat apabila sempat melarikan diri sebaik menyedari keadaan api mula marak.
Sementara itu, panggilan kebakaran itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Parit pada jam 10.03 malam.
Ketua Operasi, Shamsul Bahrin Sulaiman berkata, pemadaman dilakukan menggunakan sumber air pili bomba sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya.
"Pemadaman turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar. Operasi tamat pada jam 12.47 malam," katanya.