KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan meneruskan kajian bagi perlaksanaan gaji minimum berdasarkan lokaliti dan saiz keluarga.
Beliau berkata, usaha tersebut telah dimulakan bawah pentadbirannya sebelum ini.
"Kajian Bank Negara pada tahun 2017, menyarankan kadar gaji kehidupan wajar individu bujang dewasa yang menetap di bandar adalah RM2,700, manakala pasangan tanpa anak adalah RM4,500 dan pasangan dengan dua anak adalah RM6,500.
"Bagaimana seorang kakitangan awam berjawatan pembantu operasi atau PO yang menerima gaji tidak sampai RM2,000 untuk hidup di Kuala Lumpur apatah lagi beliau sudah mempunyai keluarga dan isteri tidak bekerja.
"Justeru, saya berharap kajian tersebut diteruskan dan Kerajaan memberikan laporan lengkap," katanya ketika Perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata, hakikatnya, gaji minimum RM1,500 bukannya satu angka yang besar, bahkan masih di bawah pendapatan garis kemiskinan negara iaitu RM2,208.
Jelas beliau, gaji minimum di Kuala Lumpur sepatutnya berbeza dengan Bera. Sewa rumah di Bera lebih rendah daripada sewa rumah di Kuala Lumpur.
"Kos sara hidup di Kuala Lumpur juga jauh lebih tinggi. Begitu juga dengan keluarga tiga orang berbeza dengan saiz keluarga enam orang," katanya.