SEREMBAN - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersetuju menambah perwakilan kuasa kepada Panglima Medan (Tentera Darat Malaysia), Panglima Armada (Tentera Laut Diraja Malaysia) dan Panglima Wilayah Udara (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan setaraf bagi mempercepatkan proses pemakaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada anggota veteran.
Beliau berkata perkara itu, akan dilakukan secepat mungkin berikutan lebih 40,000 veteran ATM masih menunggu anugerah tersebut.
"Sekiranya tidak menambah perwakilan kuasa ini, sehingga tahun 2049 baru selesai majlis anugerah ini, jadi ia perlu dipercepatkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan PJM kepada 450 penerima di Wisma Perwira, Pangkalan Udara Sendayan di sini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Sebelum ini kementerian telah mewakilkan kuasa tersebut melalui Panglima Angkatan Tentera dan Panglima-panglima Perkhidmatan ATM untuk menyempurnakan pemakaian PJM melalui Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan bertarikh 29 September 2022.
Penganugerahan PJM yang dikoordinasi oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) itu, telah dilaksanakan bermula pada 3 Mac 2004.
Mohamad berkata, seramai 36,364 warga veteran ATM, telah menerima PJM setakat ini.
PJM merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan, dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas komunis.
Dalam pada itu Mohamad berkata, kementerian bercadang menambah 6,000 lagi anggota veteran yang layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bulanan, melibatkan penambahan kos RM21 juta.
"Sebelum ini 9,000 veteran, dengan penambahan itu bantuan tersebut dapat memanfaatkan 15,000 veteran yang layak dengan kos RM 54 juta.
"Ini merupakan usaha kementerian bagi membantu kewangan anggota veteran, perkara ini akan dicadangkan kepada kerajaan, sekiranya tidak dapat, kementerian akan berusaha secara dalaman,” katanya.
Mohamad menjelaskan, kementerian tidak dapat memenuhi permintaan berkenaan penyelarasan pencen warga ATM, kerana melibatkan impak kewangan yang besar.
Beliau berkata, isu berkenaan pencen turut melibat sektor perkhidmatan awam yang lain, jadi bagi membantu anggota veteran ATM, kementerian menggunakan mekanisme bantuan BSH.
"Terdapat lebih 20 jenis bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh veteran ATM melalui JHEV,” katanya. - Bernama