JAGUH skuasy negara, Datuk Nicol David mengajak golongan wanita khususnya para atlet untuk mempunyai impian besar dan bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang sukan yang diceburi untuk meraih kejayaan tertinggi.
Atlet kelahiran Pulau Pinang itu mengingatkan kejayaan bukan datang dengan mudah tanpa kerja keras dan dedikasi.
"Push yourselves and give it a try. Process first, results after (Paksa diri anda dan beri peluang untuk mencuba. Lalui proses terlebih dahulu, hasil akan datang kemudian,” katanya menerusi catatan di Facebook pada malam Isnin.
Nicol pada Februari 2019 mengumumkan persaraan setelah lebih 20 tahun bermain untuk Malaysia bersaing dalam peringkat profesional di pentas antarabangsa.
Atlet berusia 40 tahun itu turut mengimbas memori indah ketika mula mengukir nama Malaysia di pentas antarabangsa.
"Saya berumur 15 tahun ketika memenangi gelaran skuasy remaja dunia pertama di Antwerp, Belgium.
"Saya tidak pernah terfikir pada masa itu akan mencipta sejarah sebagai atlet wanita Malaysia pertama memenangi gelaran dunia buat negara,” katanya.
Tambah Nicol bermula dengan kejayaan itu, ia menjadi penyuntik semangat buatnya untuk melakar lebih banyak kejayaan di peringkat dunia.
"Ia adalah satu penghormatan. Ia juga memberi inspirasi kepada lebih ramai atlet wanita untuk menetapkan matlamat besar buat diri mereka sendiri.
"Ia adalah satu pengalaman yang tidak terungkap dengan kata-kata,” ujar Nicol.
Nicol memegang rekod pemain paling lama yang menghuni ranking nombor satu dunia - selama sembilan tahun sebelum dirampas jaguh Mesir, Reneem El Weleily, pada 2015.
Dia juga sudah mengecapi kesemua kejuaraan, termasuk lapan kali bergelar juara dunia, selain lima pingat emas Sukan Asia, dua emas Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah PSA.
Satu-satunya kekesalannya ialah skuasy belum diterima menjadi acara rasmi dalam Sukan Olimpik sepanjang kerjayanya selaku pemain.