PUTRAJAYA - Seorang lelaki warga United Kingdom (UK) disyaki dalang sindiket pelaburan antarabangsa direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber, individu berkenaan disyaki dalang utama dalam sindiket penipuan antarabangsa yang ditangkap pada 21 Februari lalu.
"Semasa serbuan dibuat individu itu berada di premis boiler room atau markas pusat panggilan, dia juga merupakan pengurus besar kepada dua buah boiler room yang diserbu," katanya.
Menurutnya, semasa serbuan Jabatan Imigresen Malaysia telah membuat tangkapan ke atas individu tersebut.
"Hasil siasatan dan keterangan daripada saksi, individu tersebut kemudian ditahan oleh SPRM, semalam (Isnin) untuk siasatan lanjut," katanya.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman terhadap suspek.
Terdahulu, SPRM menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa didalangi warga UK dalam serbuan di 24 premis berasingan menerusi Op Tropicana yang dilaksana bermula 21 Februari lalu.
Operasi dijalankan serentak termasuk di tiga pusat panggilan, syarikat dan kediaman ahli sindiket di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang tanpa kehadiran pihak polis.
Difahamkan, sindiket dipercayai beroperasi sejak 2019 dan mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan di media sosial dan ahli sindiket terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina.
Katanya, sindiket ini sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang dipercayai menipu mangsa di seluruh dunia sehingga RM1 bilion.
Seramai 11 suspek disyaki terbabit dalam kegiatan itu ditahan, manakala 70 individu lagi ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi itu.
Sebanyak 74 akaun milik individu dan syarikat dibekukan, dianggarkan berjumlah RM11 juta.