Perhiasan khat al-Quran, semak sebelum jual

Iklan
Ahmad Husaini(dua dari kiri) menunjukkan kesilapan pada ayat al-Quran pada perhiasan khat yang terdapat di pasaran kepada peniaga Nilai 3

NILAI - Para peniaga perhiasan khat al-Quran perlu membuat semakan terlebih dahulu perhiasan yang dijual kepada pelanggan.

Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ahmad Husaini Mustafa berkata, ia penting bagi mengelak berlaku kesilapan pada ayat al-Quran yang dijual di pasaran.

Iklan
Iklan

"Mereka perlu ada rasa tanggungjawab dan bukannya terus terima saja barang daripada pihak kilang tanpa memeriksanya terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan Program Advokasi Peniaga dan Pengusaha Bingkai Ayat al-Quran Nilai di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di sini pada Selasa.

Iklan

Selain itu, beliau turut meminta para peniaga supaya melupuskan perhiasan al-Quran dengan cara yang betul dan bukannya dibuang di merata-rata tempat seperti mana kes yang berlaku di Nilai 3, pada Disember lalu.

Jelasnya, kejadian itu telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat beragama Islam dan pada masa sama seolah-olah memberi gambaran yang agensi penguat kuasa tidak mengambil perhatian perkara itu.

Iklan

"Jika ada perhiasan yang tidak dapat dijual atau rosak jangan sesuka hati lupuskan ia di merata-rata tempat tetapi berhubung dengan pihak sepatutnya.

"Bagi saya ia tak sepatutnya berlaku kerana jika kita ada rasa hormat yang tinggi dan kesedaran pentingnya menjaga kesucian wahyu Allah itu, kita tak buat begitu," katanya.

Berkenaan program diadakan, Husaini berkata, ia dapat memberi kesedaran kepada para peniaga yang mungkin selama ini tidak jelas tentang peraturan dan undang-undang ditetapkan berhubung penjualan perhiasan ayat al-Quran dan prosedur pelupusannya.

Sementara itu Pengarah Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sembilan, Mohamad Ridzuan Yusof pula berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, sebahagian peniaga tidak tahu berkenaan kesahihan ayat al-Quran yang dijual di premis mereka.

"Biasanya, kesilapan ini berlaku pada perhiasan ayat al-Quran yang di import dari luar negara, bukannya dihasilkan di negara ini.

"Jadi kita nasihatkan peniaga untuk semak perhiasan ayat al-Quran yang dijual dengan membuat rujukan di aplikasi Smart al-Quran yang diluluskan oleh Lembaga Kawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran, KDN," katanya.