KPKT sasar tutup 192 lagi tapak sampah haram

Iklan
Kor Ming melawat tapak sampah haram Taman United pada Majlis Operasi Pembersihan dan Penutupan Lokasi Sampah Haram pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan untuk menutup 192 lagi tapak sampah haram menjelang hujung bulan depan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, penutupan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) itu melibatkan beberapa lokasi yang telah dikenal pasti di tujuh negeri iaitu Johor dengan 45 lokasi, Kedah (26), Melaka (52), Negeri Sembilan (20), Pahang (20), Perlis (11) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (18).

Iklan
Iklan

"Kita berazam untuk membersihkan semua hotspot (tapak sampah haram) ini cuma masalahnya selepas pihak berkuasa membersihkannya, masalah ini akan berulang lagi.

"Oleh itu, kita akan mengambil langkah pencegahan agar tidak berulang tapi ia memerlukan kesedaran sivik yang tinggi, kerjasama dan semangat cintakan negara (dalam kalangan masyarakat)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi pembersihan dan penutupan tapak sampah haram yang ke-127 dengan jumlah sisa dibersihkan sebanyak 425 tan di Taman United, di sini pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya terus melakukan pemantauan berkala dan penguatkuasaan di lokasi tapak sampah haram termasuk melalui pemasangan 135 unit kamera litar tertutup (CCTV) boleh alih di 22 lokasi.

Iklan

"Kita juga akan melaksanakan kaedah penutupan lokasi tapak sampah haram antaranya dengan mendaftar dan melabelkan kesemua lori sisa pepejal roll-on-roll-off (RORO) selain mengubah landskap lokasi terpencil dengan menjadikannya sebagai tempat letak kereta,” katanya.

Beliau berkata, KPKT juga akan mengenakan tindakan kompaun dan undang-undang terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan dan sebarang aduan boleh dibuat di talian 1-800-88-7472. - Bernama