KLANG - Seorang pekerja pembersihan maut dilanggar sebuah bas dalam kejadian di Jalan Abdul Manan di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, mangsa merupakan warga Bangladesh itu dipercayai menunggang basikal dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa melintas jalan secara tiba-tiba dan menyebabkan sebuah bas dari arah Jalan Meru gagal mengelak lalu melanggar mangsa.
"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian anggota badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat.
"Siasatan lanjut berkaitan kejadian dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Surihan Samsudin di talian 013- 2082327," katanya.